Rusia telah menyekat perkhidmatan pesanan popular WhatsApp kerana gagal mematuhi undang-undang tempatan, kata Kremlin pada Khamis, sambil menggesa 100 juta pengguna di negara itu untuk beralih kepada alternatif domestik.
Moscow sejak beberapa bulan lalu cuba mengalihkan pengguna di Rusia kepada Max, iaitu perkhidmatan pesanan domestik yang tidak mempunyai penyulitan hujung ke hujung dan disifatkan oleh aktivis sebagai berpotensi menjadi alat pemantauan.
“Berhubung sekatan terhadap WhatsApp… keputusan sedemikian sememangnya telah dibuat dan dilaksanakan..Max ialah alternatif yang boleh diakses, sebuah aplikasi pesanan yang sedang berkembang, aplikasi pesanan nasional. Dan ia merupakan alternatif yang tersedia di pasaran untuk rakyat,” kata jurucakap Dmitry Peskov.
Peskov berkata keputusan itu dibuat susulan keengganan WhatsApp untuk mematuhi norma dan kehendak undang-undang negara itu.
WhatsApp, yang dimiliki oleh gergasi media sosial Amerika Syarikat Meta, berkata pada Rabu bahawa pihaknya percaya Rusia sedang cuba menyekat sepenuhnya perkhidmatan itu dalam usaha memaksa pengguna beralih kepada Max.
Today the Russian government attempted to fully block WhatsApp in an effort to drive people to a state-owned surveillance app. Trying to isolate over 100 million users from private and secure communication is a backwards step and can only lead to less safety for people in Russia.…
— WhatsApp (@WhatsApp) February 12, 2026
Pengkritik dan pejuang hak asasi berkata sekatan itu merupakan cubaan terang-terangan oleh Kremlin untuk meningkatkan kawalan dan pemantauan terhadap penggunaan internet di Rusia.
Mereka juga menyatakan langkah tersebut akan menyukarkan warga Rusia untuk berkomunikasi dengan pihak luar.
Namun, Vilgelm, seorang jurutera berusia 32 tahun dari Moscow, memberitahu AFP bahawa beliau percaya langkah itu tidak akan mengasingkan Rusia.
“Memandangkan peranan Rusia dalam hal ehwal dan perdagangan antarabangsa, tidak mungkin kita akan berdepan situasi seperti Korea Utara, di mana semuanya disekat sepenuhnya,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, beliau menganggap tindakan pihak berkuasa yang secara “aktif” mempromosikan Max secara agresif sebagai sesuatu yang bermasalah. – AFP
{suggest}
