Mungkin anda pernah melihat lori tangki yang membawa bahan api seperti petrol atau diesel dari arah belakang dan ternampak rantai logam tergantung dan diseret di bahagian belakang kenderaan berat tersebut.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah ia sekadar aksesori hiasan atau mempunyai fungsi khusus.
Bagi mereka yang tidak tahu, rantai tersebut sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting khususnya dalam aspek keselamatan.
Cegah Letupan
Satu kajian yang dijalankan oleh Institut Petroleum Amerika (API) dahulu telah mengenal pasti bahawa pelepasan statik sebagai punca bagi banyak insiden yang berlaku semasa operasi lori tangki di jalan raya.
Semasa lori tangki bergerak, geseran berlaku antara cecair dalam tangki dan permukaan dalamannya, selain geseran antara tayar dan jalan.
Geseran ini boleh menyebabkan pembentukan cas elektrostatik (electrostatic discharge) atau singkatannya ESD pada badan lori.
Produk seperti cecair dan serbuk yang mempunyai kekonduksian elektrik rendah cenderung untuk menghasilkan cas statik kerana ia tidak dapat menghilangkan cas secara efektif.
Jadi, apabila bahan-bahan ini mengalir melalui peralatan logam seperti paip, pam, penapis dan tangki, cas-cas berlebihan ini boleh berpindah ke permukaan bekas seperti lori tangki.
Jika tiada laluan bagi cas ini untuk dialirkan, bekas tersebut akan menyimpan cas elektrik.

Cas yang terkumpul pada kadar cukup tinggi, boleh menyebabkan pecahan udara di antara dua objek dan mencetuskan percikan elektrostatik, yang boleh mencetuskan percikan api, terutamanya ketika lori sedang mengisi atau mengosongkan bahan api.
Oleh itu, bagi menangani risiko ini, rantai logam ini direka untuk sentiasa bersentuhan dengan tanah, sekali gus membolehkan cas statik dialirkan secara selamat ke bumi yang dikenali sebagai proses pembumian (grounding).
Pembumian bermaksud menyambungkan cas elektrik berlebihan dari lori tangki ke bumi, untuk menyerap cas-cas tersebut, seterusnya menghalang pengumpulan cas statik dan mencegah percikan.
Kejayaan sistem pembumian diukur melalui rintangan elektrik antara lori tangki dan titik pembumian, di mana ia haruslah serendah mungkin agar aliran cas berjalan lancar.
Melalui mekanisme ini, risiko percikan api dapat dikurangkan dengan ketara dengan mererendah risiko lori tangki yang membawa bahan mudah terbakar daripada terbakar atau meletup.
Perlindungan Tambahan Semasa Proses Pemindahan
Ketika lori tangki menjalankan operasi memuat atau memindahkan bahan api, risiko elektrostatik menjadi lebih tinggi.
Walaupun kabel bumi biasanya digunakan di stesen minyak atau loji pemprosesan, rantai logam berfungsi sebagai pelindung tambahan, terutamanya apabila kenderaan bergerak atau berada di lokasi tanpa sistem pembumian tetap.
Rantai Boleh Menghasilkan Percikan Api?
Sudah tentunya timbul juga persoalan, tidakkah rantai yang bergesel dengan jalan itu boleh menghasilkan percikan?
Jawapan ringkasnya adalah tidak. Ini kerana, rantai tersebut tidak diseret dengan kekuatan yang cukup untuk mencetuskan percikan.
Ia hanya menyentuh sedikit permukaan jalan di mana ia tidak cukup untuk menimbulkan risiko.
Alternatif Moden
Namun, dengan kemajuan teknologi, ramai pengeluar lori kini menggunakan alternatif seperti jalur pelepasan statik (static discharge strips) atau tayar konduktif (tayar antistatik) yang menjalankan fungsi yang sama tanpa memerlukan rantai tergantung.

Malah, rantai tidak lagi diwajibkan mengikut peraturan keselamatan terkini, tetapi masih digunakan oleh sesetengah syarikat sebagai langkah keselamatan tambahan.
Jadi, apa yang disimpulkan adalah, walaupun nampak kecil dan tidak menarik , rantai di belakang lori tangki membawa peranan besar dalam melindungi kenderaan, pemandu, dan persekitarannya daripada risiko nyalaan akibat cas statik.
Ia adalah salah satu contoh bagaimana penyelesaian mudah dan murah boleh menyumbang kepada keselamatan dalam industri yang berisiko tinggi.
Sama ada melalui rantai atau teknologi moden, prinsip asasnya tetap sama memastikan keselamatan adalah menjadi keutamaan.
{suggest}
Sumber: Process & Control