Reuters: Huawei Bakal Menjual Honor Pada Harga RM62 Bilion

Huawei kini dilaporkan dalam perancangan untuk menjual sub jenama mereka, Honor kepada konsortium yang terdiri daripada Digital China dan kerajaan Shenzhen.

Menurut Reuters, perjanjian tersebut bernilai 100 bilion yuan atau sekitar RM62 bilion. Penjualan ini melibatkan hampir kesemua aset termasuk jenama itu sendiri, penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan rantaian pembekal.

Huawei turut merancang untuk mengekalkan sebahagian pasukan pengurusan dan lebih 7000 tenaga kerja dalam masa tiga tahun pengambilalihan ini.

Dalam pada itu, peralihan ini dikatakan berikutan sekatan Amerika Syarikat ke atas Huawei Technologies Co Ltd yang memaksa mereka memberi tumpuan yang terhad kepada jenama itu.

Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi dari Huawei dan syarikat itu dijangka bakal mengumumkan mengenainya seawal Ahad depan.

Sumber: Reuters