Redmi Note 9 Pro - Spesifikasi Membuak-Buak Untuk Peranti Berharga RM1099

Dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada pertengahan Mei lalu, Redmi Note 9 Pro dijual berharga RM1,099. Ia merupakan peranti kelas pertengahan dan merupakan penyambung legasi Redmi Note 8 Pro yang sangat popular pada tahun lalu.





Kami di Wiser sudah mendapat unit ulasan peranti ini dan ini adalah reaksi awal dan pendapat kami mengenai Redmi Note 9 Pro ini.

Buka Kotak


Seusai membuka kotak, anda akan dihidangkan dengan kandungan kotak kebiasaan peranti Xiaomi iaitu :

  • 1x Redmi Note 9 Pro

  • 1x Kabel pengecasan

  • 1x Pengecas

  • 1x Sarung pelindung



Rekaan


Unit yang kami terima adalah berwarna Glacier White dan merupakan salah satu dari 3 pilihan warna yang ditawarkan selain Interstellar Grey dan Tropical Green. Warna putih ini adalah dari jenis glossy.

Walaupun warna ini dilihat agak membosankan kerana hanya putih semata-mata, namun ia tidaklah kelihatan murah. Ini adalah kerana ia dibina dari kaca Gorilla Glass 5.



Pada bahagian bingkai peranti, ia dibina dari bahan plastik mungkin untuk menjimatkan kos. Walau bagaimanapun, ia digilap seperti aluminium jadi anda tidak terus menyangkanya plastik kali pertama memegangnya.

Melihat kepada bahagian kanan, ia menyertakan sebuah pengimbas cap jari yang juga bertindak sebagai sebuah butang kuasa. Pengimbas ini tidak mempunyai sebarang tekstur. Namun tidaklah pula sukar untuk mencari butang ini kerana bentuknya yang leper dan diposisikan agak baik.



Bergerak sedikit ke bahagian atas pula, terdapat butang laras suara. Bahagian kiri pula hanya memuatkan slot sim. Ia menggunakan 3 slot dan bukannya jenis hibrid.



Bahagian bawah mempamerkan bicu audio 3.5mm kesukaan ramai, lubang pengecasan USB Type-C, dan pembesar suara. Bahagian atas pula terdapat satu lagi fungsi unik iaitu pemancar infra merah dan juga mikrofon. Sedikit bawah terdapat apa yang dipanggil earpiece. Peranti ini tidak menyokong pembesar suara stereo dan ia adalah difahami untuk sebuah peranti kelas pertengahan.



Beralih ke bahagian belakang ia memuatkan modul kamera yang agak tersembul. Rekaan ini adalah sama sahaja dengan versi adiknya iaitu Redmi Note 9S. Sedikit ke bawah, ia memaparkan logo Redmi dan juga pensijilan CE.


Spesifikasi


Peranti ini agak besar dengan saiz skrin 6.67 inci Full HD+ berpanelkan LCD. Kaca yang digunakan pula adalah Corning Gorilla Glass 5. Skrinnya dilihat agak terang dan terdapat lubang kamera yang diposisikan pada bahagian tengah memuatkan lensa swafoto 32MP.



Redmi Note 9 Pro dijana oleh cip pemprosesan Snapdragon 720G dan hadir dalam RAM 6GB dan storan dalaman 128GB. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, peranti ini turut menyokong slot microSD untuk tambahan storan.

Untuk kamera, ia dimuatkan dengan kuad kamera iaitu 64MP utama, + 8MP sudut lebar + 5MP makro + 2MP depth. Modul kamera ini sebenarnya agak mengganggu kerana mewujudkan ketidaksimetrian jika peranti diletakkan di atas meja.



Bateri peranti dimuatkan dengan 5,020mAh yang mana untuk norma pasaran peranti pintar adalah agak besar. Pengecasan yang disokong adalah 33W manakala pengecas yang disertakan juga maksimum 33W dalam bentuk 2 pin.



Seperti kebanyakan peranti-peranti Xiaomi lain, Redmi Note 9 Pro masih lagi menjalankan MIUI 11 berasaskan Android 10. Mungkin kita akan dapat melihat sokongan MIUI 12 yang akan hadir dilepaskan untuk peranti ini tidak lama lagi.


Kesimpulan


Untuk sedikit masa yang ringkas, peranti ini agak jitu untuk dicadangkan sebagai sebuah pembelian yang berbaloi. Ini adalah kerana spesifikasi peranti yang dilihat agak melengkapi untuk penggunaan harian pengguna.



Jika anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai Redmi Note 9 Pro ini, nantikan ulasan lanjutnya tidak lama lagi.

Beli Redmi Note 9 Pro di:
Lazada: https://invol.co/clpumy
Shopee: https://invol.co/clpumz

Berkaitan