Awal tahun ini sewaktu pelancaran pelancaran realme X50, pengeluar telah mengumumkan fokus tahun 2020 akan berlegar sekitar 5G dan AIoT. Setelah beberapa bulan, peranti-peranti yang digelar sebagai AIoT itu akhirnya memasuki pasaran tempatan secara rasmi pada 11 Jun lepas.
Salah satu daripada peranti tersebut merupakan sebuah penjejak kecergasan yang diberi nama realme Band. Ditawarkan pada harga rasmi RM129, adakah ia mampu bersaing dengan model-model dari jenama lain? Mari ikuti kupasan ini.
Spesifikasi
- Paparan TFT 0.96 inci (80×160)
- Warna hitam, hijau dan kuning
- Berat 20g
- Bateri 90mAh
- IP68
- Sensor: pecutan 3 paksi, kadar denyutan nadi, motor getaran rotor
- 9 mod sukan
Rekaan
Kita mulakan terlebih dahulu dibahagian luar. Dari segi rekaan, tidak banyak beza dengan jenama lain dimana tali peranti boleh ditukar pada bila-bila masa mengikut warna kegemaran. Terdapat tiga pilihan warna iaitu hitam, kuning dan unit yang kami uji berwarna hijau.
Apa yang menarik tentang peranti ini adalah ia sangat mudah untuk dicas. Tidak perlu sebarang kabel tambahan. Hanya perlu tarik sahaja tali dan cucuk terus pada kepala pengecas (USB-A). Ini mengingatkan saya kepada HONOR Band 5i yang menggunakan kaedah pengecasan seperti ini.
Kita lihat pula pada paparan, ia adalah dari jenis TFT berukuran 0.96 inci. Lebih kurang paparan Mi Band 4 yang bersaiz 0.95 inci. Tetapi peranti Xiaomi itu berkelebihan dengan skrin AMOLED berwarna yang lebih enak dipandang mata.
Penggunaan didalam kawasan tertutup tidak mempunyai sebarang masalah, anda boleh lihat dengan jelas paparan walaupun warnanya seakan kusam sedikit. Tetapi jika dibawa keluar, lebih-lebih lagi ketika beriadah di bawah sinaran matahari, sukar untuk saya melihat paparan. Ia samar samar.
Walaupun kecerahan sudah ditetapkan pada tahap paling tinggi, ia masih kurang cerah pada pandangan mata saya. Seperkara lagi, tiada fungsi untuk laras tahap kecerahan pada peranti dan anda perlu tukar melalui aplikasi realme Link. Ini sedikit menyukarkan bagi anda yang beriadah tanpa membawa telefon pintar bersama-sama.
Bagi navigasi, anda hanya disediakan dengan butang maya berbentuk bulat seperti imej dibawah. Tiada ciri sentuhan skrin untuk beralih dari satu fungsi ke fungsi yang lain.
Sentuh satu kali untuk pilih fungsi, dan sentuh lebih kurang 3 saat untuk mula atau hentikan fungsi. Bahagian ini juga tidak bermasalah cuma adakalanya butang seakan tidak responsif. Contohnya saya mahu memulakan mod larian tetapi ia bertukar kepada fungsi yang lain. Mungkin anda perlu tekan dengan lebih cermat supaya ia dapat mengesan sentuhan tersebut. Kemaskini terkini yang baru diterima dilihat sudah membaiki masalah kurang responsif tersebut.
Seperti kebanyakan penjejak kecergasan yang lain, skrin utama atau watch faces realme Band boleh ditukar-tukar. Ada beberapa pilihan latar belakang yang disediakan menerusi aplikasi realme Link. Anda hanya boleh tukar melalui aplikasi sahaja.
Terdapat 9 mod sukan yang disediakan untuk pengguna seperti kriket, yoga, berjalan, mendaki, memanjat, berbasikal, berpusing serta kecergasan. Anda mungkin perasan ia tidak didatangkan dengan mod renang. Ini kerana ia hanya didatangkan dengan pensijilan IP68 sahaja. Disini bermaksud, ia kalis air tetapi tidak pada aktiviti yang melibatkan tekanan air yang tinggi, terjun papan anjal 100 meter misalnya.
Bagi mod kecergasan seperti Walking, terdapat pelbagai bacaan langkah yang saya lihat apabila membandingkan antara realme Band dan Mi Band 4. Ada masa kedua-duanya sama, adakala hanya sedikit perbezaan (81-80), dan ada juga bacaan realme band yang jauh menyimpang. Tetapi kebanyakan masa ia memberikan keputusan yang hampir sama.
Lain-lain ciri yang terdapat pada realme Band adalah pemantauan denyut jantung selama 24. Anda boleh menetapkan dari 5 minit hingga 30 minit untuk ia membuat pemantauan tersebut. Perlu diingat, semakin kerap ciri ini digunakan semakin banyak kuasa bateri yang ditelan.
Buat pengetahuan semua, kandungan yang dipaparkan pada realme Band adalah terhad dimana seperti hanya menunjukkan tiga sahaja mod sukan. Anda perlu pilih mod sukan kegemaran dan sekiranya perlukan yang lain, boleh tukar melalui aplikasi realme Link pada telefon pintar.
Sambungan dibuat secara Bluetooth 4.2 dan menyokong peranti yang mempunyai sistem operasi Android 5.0 keatas. Bagi yang menggunakan iOS, anda tidak boleh menggunakan aplikasi ini kerana ia tidak ditawarkan pada App Store. Bermaksud pengguna iPhone tidak boleh menikmati realme Band dengan sepenuhnya dan realme kehilangan satu lagi segmen pengguna yang mungkin berminat untuk memiliki realme Band.
Peranti ini turut didatangkan dengan ciri notifikasi. Anda boleh tetapkan mana-mana aplikasi yang biasa digunakan seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan lain-lain. Namun begitu, ia tidak mempunyai bahagian khusus untuk notifikasi. Bermakna anda hanya boleh lihat sekali sahaja mesej yang diterima. Tidak seperti Mi Band 4 yang ada dilengkapkan dengan seksyen didedikasikan untuk melihat notifikasi.
Ia turut sama berkebolehan untuk menerima notifikasi panggilan suara. Skrin akan memaparkan nama pemanggil dimana anda tidak boleh untuk mute tetapi hanya boleh menamatkan panggilan.
Secara keseluruhannya realme band dilihat hadir dengan penawaran yang asas untuk sebuah penjejak kecergasan. Pujian boleh diberikan kepada realme kerana menembusi pasaran peranti ini, tetapi dirasakan ia tidak menepati citarasa pengguna tahun 2020.
Berbaloi untuk dibeli atau tidak bergantung kepada anda dan untuk pengetahuan, harga jualan rasmi realme Band diletakkan pada nilai RM129. Cuba kita jenguk diluar sana, ada beberapa lagi alternatif lain yang boleh dipilih pada harga lebih kurang sama, atau lebih mahal sedikit. Contoh paling mudah adalah Mi Band 4 yang tampil lebih baik dari segi spesifikasi dan fungsi. Sekiranya anda mempunyai RM129, adakah realme Band menjadi pilihan?