Reaksi Awal Jabra Elite 3 - Versi Elite Paling Mampu Milik, Tapi Tetap Juga Lunak

Jabra merupakan jenama yang terkenal dengan penawaran fon telinga True Wireless System (TWS) yang berkualiti terutamanya model-model seperti Jabra Elite 85T, 75T, ataupun 65T. Namun begitu, model-model yang dinyatakan ini hadir dengan harga yang sedikit premium. Sehubungan dengan itu, bagi menjawab permintaan sebuah TWS dengan harga lebih mampu milik, baru-baru ini Jabra telah melancarkan model Elite 3 yang berharga RM389.



Sudah tentu ia bukannya mampu milik seperti yang disangka, akan tetapi ini lebih kepada mampu milik dalam konteks penawaran Jabra Elite itu sendiri.

Jadi artikel kali ini, mari kita melihat apa yang menarik dengan si anak bongsu keluarga Elite Jabra ini.

Buka Kotak


Melihat kepada kotak luar Jabra Elite 3, terdapat beberapa ciri yang diketengahkan oleh Elite 3 iaitu :

  • Kualiti bunyi dan teknologi panggilan melalui 4 mikrofon

  • Rekaan pemisahan hingar dan HearTrough

  • Pilihan mod mono melalui salah satu fon telinga

  • Rekaan selesa dan tidak mudah tertanggal (yeke)

  • Sehingga 7 jam bateri, atau 28 jam jika melalui kerangka, juga dengan pengecasan pantas

  • Kalis hujan dan waranti sehingga 2 tahun


Dari segi sokongan ciri lain, ia turut memaparkan:

  • Spotify

  • Alexa

  • Google Fast Pair

  • Qualcomm aptX




Jika melihat pada bahagian hadapan pula, secara ringkasnya 3 sebab mengapa anda mahu memilih Elite 3. Yang pertama dari segi 'customizable music'. Ini mungkin sesuatu yang boleh diubahsuai di dalam aplikasi Jabra+. Kedua adalah 'powerful bass' dan ketiga adalah 'great calls'. Sehubungan dengan itu, Elite 3 ini sebenarnya merupakan model yang lebih ringkas tanpa ciri-ciri ekstra seperti ANC, pemacu audio yang super berkuasa, ketahanan bateri yang sangat lama, dan lain-lain yang terdapat pada model Jabra Elite yang jauh lebih mahal.



Apabila membuka kotak, awal-awal lagi Jabra mengingatkan untuk memuat turun aplikasi Jabra Sound+ dalam telefon pintar masing-masing. Jabra juga mengatakan bahawa mereka menggunakan pembungkusan mesra alam sekitar.



Di dalamnya, anda akan dihidangkan dengan produk Jabra Elite 3 itu sendiri serta ia turut hadir dengan 2 lagi set silikon telinga untuk kesesuaian pengguna. Terdapat juga kabel pengecas USB-C yang pendek untuk mengecas Elite 3 itu.



 

Rekaan (Kerangka)


Kerangka Jabra Elite 3 dibina dari plastik dengan rekaan rata pada bahagian atas dan bawah serta berkemasan sedikit berkilau. Walaupun ia model yang tidak semahal abang-abangnya, binaannya kukuh dan kemas. Di bahagian hadapan kerangka akan terlihat logo Jabra serta petunjuk LED manakala lubang pengecasan USB-C pada bahagian belakang.



Pada laman rasmi Jabra Elite 3, terdapat 4 pilihan warna yang boleh dipilih dari Jabra Elite 3 - Dark Grey, Navy, Lilac, dan Light Beige . Unit kami adalah berwarna Dark Grey, yang mana bagi kami nampak agak klasik dan bersahaja.

Rekaan (Fon Telinga)


Jabra Elite 3 adalah merupakan fon telinga TWS jenis in-ear. Ini adalah merupakan rekaan yang sudah biasa ditemui pada kebanyakan TWS lain dan juga alternatif kepada rekaan bertangkai seperti Apple AirPods. Saya jujurnya kurang berkenan dengan rekaan sebegini kerana ia tidak mudah untuk dijolok masuk ke dalam telinga.



Selain itu, ia mempunyai kawalan butang yang boleh ditekan pada logo Jabra, 2 mikrofon untuk HearTrough, dan juga petunjuk LED. Binaannya pun sama seperti kerangka iaitu plastik juga.


Spesifikasi


Jabra Elite 3 menyokong format audio sehingga Qualcomm aptX dan juga SBC. Ia dipacu oleh pemacu bersaiz 6mm dengan frekuensi berjulat 20Hz-20000Hz.

Dari segi fizikal, setiap satu pasang fon telinga mempunyai berat 4.6g manakala ia menjadi 33.4g untuk berat keseluruhan bersama-sama kerangkanya.

Untuk sokongan pembantu suara, ia boleh menyeru Amazon Alexa, Siri, dan juga Google Assistant melalui kawalan butang.

Bateri boleh bertahan sehingga maksimum 7 jam namun boleh dipanjangkan kepada 28 jam melalui kerangkanya. Untuk mengecas pula, ia mengambil masa 3.5 jam untuk penuh, tetapi jika dicas sekitar 10 minit, pengguna masih boleh menggunakannya sehingga 1 jam.



Sambungan adalah melalui Bluetooth 5.2 dan menyokong kedua-dua Android serta iOS. Pengguna turut memerlukan pemasangan aplikasi Jabra Sound+ untuk mengakses ciri-ciri tambahan Elite 3 ini sebagaimana model-model Jabra yang lain.

Untuk ketahanan, ia mempunyai sokongan IP55 dan menariknya pengguna turut diberikan 2 tahun waranti jika Elite 3 termasuk debu atau air semasa penggunaan.

Reaksi Awal


Melalui penggunaan ringkas, saya agak kurang berminat dengan rekaan Jabra Elite 3 kerana ia memerlukan pengguna betul-betul meletakkan TWS ke dalam telinga. Jika dipakai lama-lama, jujurnya ia akan terasa agak rimas juga. Namun ini mungkin lebih kepada citarasa masing-masing disebabkan ada rakan lain yang tidak merasa sakit telinga apabila memakainya.

Selain itu, jika pengguna tidak memuat turun aplikasi Jabra Sound+, mungkin mereka akan pening bagaimana mahu menyambungkan Elite 3 kepada telefon. Ini adalah kerana Elite 3 memerlukan pengguna untuk menekan butang selama 3 saat untuk menyambungkan kepada telefon melalui Bluetooth. Arahan ini hanya terdapat pada aplikasi Jabra Sound+ sahaja, tiada langsung pada kotak manual.

Untuk pandangan awal, audio yang dihasilkan adalah baik dengan bass yang berdentum. Ciri HearTrough lebih kepada gimik kerana mikrofon tidak berjaya mengutip suara orang lain dengan jelas walaupun jarak berbual tidaklah jauh mana. HearThrough ni sebenarnya lebih kurang seperti Transparent Mode pada jenama lain yang membenarkan anda mendengar percakapan orang lain. Ibaratnya seperti reverse ANC lah. Tapi seperti dikatakan tadi, lebih kepada gimik sahaja. Ada macam tak ada sahaja.

Aplikasi Jabra Sound+ pula bagi saya sangat menarik dan cantik dengan antaramuka yang bersih dengan rekaan kemas.


Rumusan


Unsur kualiti audio yang cukup terkenal dalam adik-beradik Elite diterjemahkan dengan sempurna walaupun Elite 3 ini adalah merupakan model lebih mampu milik. Untuk yang mengutamakan kualiti audio dan mengharapkan sesuatu yang bagus dari jenama Jabra itu sendir, saya merasakan Elite 3 ini mungkin akan memuaskan hati anda.



Namun begitu, dengan rekaan yang kurang digemari disebabkan TWS terpaksa ditonyoh kedalam telinga mungkin akan menyebabkan ada yang kurang selesa mendengar muzik dalam jangka masa yang panjang. Tambahan pula, tiada ciri ekstra seperti ANC yang biasa ditemui pada model-model lain menjadikan hanya kualiti audio dan kekuatan jenama Jabra itu sendiri yang menjadi sebab pengguna berminat untuk memiliki Elite 3.

Untuk harga RM389, mestilah ia bukan 'mampu milik' yang kita semua faham. Tapi ini dalam konteks Jabra Elite, ia sememangnya model mampu milik. Adakah ia berbaloi? Untuk spesifikasi dapatan Qualcomm aptX, IP55, Google Assistant, waranti 2 tahun, dan audio pun 'enak' saya rasa harga dia kena juga. Atau anda ada cadangan model lain lebih berbaloi?

Berkaitan