Seorang rakyat Malaysia bernama Chee Yie Jian/Julian bersama 2 lagi dari Korea Selatan bernama Kim Kyu Tae dan Shin Moo Joon telah bergabung membentuk pasukan dalam usaha memecahkan rekod dunia Guinness membaling kapal terbang kertas paling jauh.
Usaha pasukan yang dinamakan sebagai “Shin Kim Chee Team” itu berhasil apabila mereka telah berjaya memecahkan rekod dunia tersebut yang sebelum ini dipegang oleh rakyat Amerika selama 10 tahun.
Rekod dunia itu dibuat di Daegu, Gyeongsangbuk-do, Korea Selatan pada 16 April 2022 lalu di dalam dewan tertutup.
Sebanyak 8 kali balingan dibuat oleh “Shin Kim Chee Team” itu di mana jarak terpendek balingan kapal terbang kertas yang direkodkan adalah 71.813 meter.
Manakala jarak balingan kapal terbang kertas paling jauh yang direkodkan mereka pula adalah sejauh 77.134 meter, sekaligus mengatasi rekod dunia Guinness sebelum ini iaitu 69.14 meter.
Mengulas kejayaan yang dicapai itu, Chee Yie Jian menyatakan selain daripada rekaan kapal terbang kertasnya, jenis kertas yang digunakan juga adalah faktor menyumbang kepada kejayaan itu.
“Shin Kim Chee Team” menggunakan kualiti kertas terbaik dunia yang ada ketika ini untuk rekaan kapal terbang mereka iaitu kertas jenis Conqueror CX22 100GSM.
Cubaan rekod dunia bagi balingan kapal terbang kertas paling jauh di dunia pertama kali dilakukan dalam tahun 1985 dahulu oleh Tony Felch yang dibuat di La Crosse, Wisconsin, USA.
Balingan kapal terbang kertasnya itu berjaya merekodkan sejauh 58.82 meter.
Sumber: Guinness World Records
Baca juga: