Seperti semua sedia tahu, telefon pintar yang diguna dalam kehidupan seharian menghasilkan radiasi.
Radiasi terhasil kerana telefon pintar bergantung pada gelombang radiofrekuensi (RF) untuk menghantar dan menerima isyarat.
Gelombang ini memancarkan tahap radiasi tertentu yang merupakan sebahagian daripada sinaran elektromagnet.
Walau bagaimanapun, menurut hasil kajian yang dijalankan Stocklytics mendedahkan model telefon popular dari Xiaomi dan Samsung mengeluarkan radiasi paling tinggi pada tahun 2024 ini.
Menurut Stocklytics, Xiaomi, khususnya menerusi berbilang model telefon pintar mereka didapati menyumbang secara signifikan kepada kebimbangan pengeluaran radiasi ini.
Xiaomi-Mi A1, khususnya, didapati mengeluarkan tahap sinaran yang melambung tinggi.
Kadar Penyerapan Khusus (Specific Absorption Rate) atau SARnya didapati amat meresahkan, dengan SAR (di bahagaian telinga) sebanyak 1.75 W/kg dan SAR (di bahagian badan) sebanyak 0.76W/kg.
Turut menambah tahap membimbangkan ialah siri Xiaomi-Mi Max 3 dengan SAR (telinga) sebanyak 1.58W/Kg dan SAR (badan) sebanyak 1.42 W/kg.
Model 5Gnya juga mempunyai paras SAR (telinga) yang serupa dan SAR (badan) yang naik sedikit sebanyak 1.56 W/kg.
Selain itu, siri Samsung A23 5G juga menimbulkan kebimbangan yang ketara dengan peningkatan SAR hampir kepada 1.5 W/kg untuk kedua-dua (telinga) dan (badan).
Galaxy Z Fold4 juga menjadi tumpuan untuk sinaran yang sangat tinggi dengan SAR (telinga) sebanyak 1.30 W/kg dan SAR (badan) 1.51 W/kg. Galaxy Z Fold 5 pula turut tersenarai dengan SAR (telinga) sebanyak 1.24 W/kg.
OPPO Reno 5G (CHP1921) juga mencatatkan tahap sinaran yang tinggi, dengan SAR 1.36 W/kg untuk telinga.
Tetapi tahap radiasi yang dikeluarkan dari telefon pintar Google dan Apple pula didapati lebih rendah menurut Stocklytics.
Lapor Stocklytics, peranti seperti Google Pixel 3a dan 4a serta siri iPhone 7 menunjukkan tahap sinaran yang lebih rendah, antara lebih kurang 1.36 W/kg hingga 1.39 W/kg untuk telinga.
Namun begitu, Stocklytics juga menyatakan, walaupun Xiaomi dan Samsung mendominasi dalam pelepasan sinaran radiasi, tetapi beberapa model daripada telefon pintar dari jenama ini menyumbang dengan ketara kurang kepada tahap keseluruhan radiasi.
Contohnya termasuk siri Samsung Note 10, siri A55 dan A35 serta Xiaomi Redmi 5A dan Note 7 Pro, semuanya mempamerkan bacaan SAR rendah yang boleh diabaikan untuk telinga.
Radiasi telefon pintar dijangka meningkat
Stocklytics menyimpulkan bahawa, teknologi rangkaian mudah alih terdahulu seperti 2G, 3G dan 4G secara kasar memancarkan 0.7-2.7 GHz dalam julat frekuensi yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, kemunculan 5G ditetapkan untuk menggunakan spektrum yang lebih luas, sehingga 80 GHz.
Peningkatan ketara ini sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang potensi pelepasan sinaran radiasi yang lebih tinggi daripada telefon pintar berdaya 5G melainkan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya diambil.
Had dedahan bagi sinaran radiofrekuensi
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggunapakai garis panduan yang dikeluarkan oleh International Commission On Non-Ionizing Radiation Protection, ICNIRP (Guidelines for limiting exposure to time-varying electric and magnetic fields (up to 300 GHz)) seperti yang disyorkan oleh WHO.
Had dedahan yang ditetapkan dalam garis panduan ICNIRP telah mengambilkira tahap yang selamat daripada kesan sinaran radiofrekuensi iaitu 50 kali ganda lebih rendah berbanding tahap di mana kesan kesihatan mungkin terjadi.
Had dedahan untuk orang awam dan pekerja diringkaskan seperti di jadual di bawah:
- Pancaran RF Berion (Ionizing RFE) memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan serta memberikan kesan kepanasan melampau. Contoh Radiasi Berion adalah sinaran Gamma, sinaran X (X-ray) dan emissi radioaktif.
- Pancaran RF Tak Berion (Non-Ionizing RFE) tidak memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan jirim hidup, serta tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia. Contoh Pancaran Tak Berion adalah Pancaran Frekuensi Radio (Emissi RF).
“Pancaran RF tidak bersifat radioaktif” MCMC.