Impian untuk melihat kereta elektrik hasil kerjasama Sony dan Honda nampaknya tidak akan menjadi kenyataan selepas kedua-dua gergasi Jepun itu mengesahkan pembatalan pembangunan model AFEELA generasi pertama dan kedua berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan drastik ini diambil susulan langkah Honda yang sedang menyemak semula strategi elektrifikasi mereka akibat cabaran pasaran EV semasa yang tidak menentu.
Menurut laporan Reuters, Honda kini menjangkakan kerugian yang cukup besar iaitu mencecah 570 bilion yen (~RM14 bilion) bagi tahun kewangan 2025/26. Masalah jualan yang perlahan di pasaran China serta kos pembangunan teknologi elektrik yang melambung tinggi memaksa Honda untuk lebih berhati-hati, sekali gus membatalkan pelancaran tiga lagi model EV yang dirancang untuk pasaran Amerika Utara sebelum ini.
Bagi pelanggan yang sudah pun membuat tempahan awal untuk model pertama AFEELA, pihak syarikat mengesahkan bahawa bayaran balik akan diberikan sepenuhnya.
Walaupun syarikat usaha sama Sony Honda Mobility (SHM) masih wujud, hala tuju dan masa depan kerjasama ini kini sedang dinilai semula oleh kedua-dua pihak. Nampaknya, gabungan kepakaran sensor Sony dan pembuatan kereta Honda terpaksa akur dengan realiti ekonomi yang mencabar buat masa ini.
{suggest}
