Seorang profesor India cetus kecaman selepas mendakwa secara tidak tepat bahawa seekor robot anjing buatan China yang dipamerkan di sebuah sidang kemuncak AI utama di New Delhi dibangunkan oleh universitinya.
Anjing mekanikal berwarna perak itu — model yang dijual oleh syarikat pemula China, Unitree — dipamerkan di reruai yang dikendalikan oleh Universiti Galgotias semasa AI Impact Summit minggu ini.
Susulan kecaman dalam talian terhadap dakwaan profesor tersebut dalam satu temu bual televisyen pada Selasa, pihak universiti menjelaskan bahawa walaupun mereka tidak membina mesin berkenaan, “apa yang kami bina ialah minda yang tidak lama lagi akan mereka bentuk, mengendalikan dan mengeluarkan teknologi seumpamanya”.
“Anda perlu bertemu Orion,” kata profesor berkenaan, Neha Singh, kepada seorang wartawan TV India ketika anjing itu melakukan aksi seperti melambai ke arah kamera dan berdiri dengan dua kaki belakangnya.
“Ia telah dibangunkan oleh pusat kecemerlangan di Universiti Galgotias,” kata Singh, sambil mempromosikan pelaburan institusi itu dalam teknologi kecerdasan buatan.
“Seperti yang anda lihat, ia boleh mengambil pelbagai bentuk dan saiz… ia juga agak nakal,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, universiti itu berkata: “Biar kami jelaskan — Galgotias tidak membina robot anjing ini, dan kami juga tidak pernah mendakwa demikian.”
Robot anjing Unitree yang “baru diperoleh” itu disifatkan sebagai “bilik darjah bergerak” dan “pelajar kami sedang bereksperimen dengannya serta menguji batas kemampuannya”, menurut kenyataan tersebut.
Diasak berhubung kenyataannya, Singh berkata kepada wartawan pada Rabu bahawa “mungkin terdapat perkara yang tidak dinyatakan dengan jelas”.
“Saya tidak menyampaikannya dengan betul,” kata Singh, seorang profesor komunikasi.
Pelajar Galgotias, Vaidik Mishra, berkata kontroversi itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kami begitu berharap sidang kemuncak ini akan memberi platform untuk kami bercakap tentang syarikat pemula kami. Tetapi kini semuanya tertumpu kepada dakwaan kami berbohong tentang robot itu, yang sebenarnya tidak benar. Ia hanyalah salah faham,” katanya kepada AFP.
Parti pembangkang India, Kongres, menggunakan insiden itu untuk mengkritik Perdana Menteri Narendra Modi, yang menjadi tuan rumah kepada hampir 20 pemimpin dunia serta puluhan delegasi kebangsaan lain dalam sidang kemuncak lima hari tersebut.
“Kerajaan Modi telah menjadikan India bahan ketawa dunia dalam hal AI. Dalam sidang kemuncak AI yang sedang berlangsung, robot China dipamerkan sebagai hasil tempatan,” tulis parti itu dalam satu hantaran di X.
“Ia benar-benar memalukan India,” tambahnya, sambil menyifatkan insiden itu sebagai “tidak tahu malu”.
Wartawan TV yang menjalankan temu bual berkenaan, Tapas Bhattachary, menggesa penonton melihat isu itu dari sudut lebih luas.
“Jika seorang daripada ratusan pempamer tidak bersikap telus tentang inovasi mereka, saya tidak akan berputus asa terhadap belia India yang sebenarnya sangat inovatif,” katanya.
– AFP.
{suggest}
