Android Headlines menerbitkan satu laporan siasatan mendalam yang mendakwa OnePlus kini berada di ambang kejatuhan perniagaan, dengan operasi jenama itu sedang dikecilkan secara senyap tanpa pengumuman rasmi kepada umum.
Menurut Android Headlines, siasatan tersebut melibatkan temu bual dengan kakitangan semasa dan bekas pekerja OnePlus merentasi China, Amerika Syarikat, India dan Eropah, serta disokong data daripada beberapa firma analisis industri bebas. Hasilnya menunjukkan OnePlus sedang mengikuti corak pengunduran yang pernah dialami jenama telefon pintar lain sebelum ini.
Data pasaran menunjukkan penghantaran OnePlus merosot lebih 20 peratus pada 2024, daripada sekitar 17 juta unit kepada hanya 13 hingga 14 juta unit. Dalam tempoh sama, syarikat induknya, OPPO, mencatat pertumbuhan, sekali gus menjadikan OnePlus beban kepada prestasi keseluruhan kumpulan.
Keadaan lebih ketara di pasaran utama. Di India, ribuan kedai runcit dilaporkan berhenti menjual peranti OnePlus akibat isu margin keuntungan dan kelewatan jaminan, menyebabkan pegangan pasaran premium merosot mendadak.
Di China pula, sasaran pertumbuhan tidak tercapai dan bahagian pasaran terus menyusut.
Android Headlines turut melaporkan beberapa langkah pengunduran besar dilakukan tanpa sebarang kenyataan rasmi, termasuk penutupan ibu pejabat OnePlus di Amerika Syarikat, pengecilan pasukan Eropah, serta pembatalan beberapa produk utama seperti telefon boleh lipat generasi baharu dan model flagship kompak.
Walaupun OPPO pernah menyuntik pelaburan besar bagi menyelamatkan OnePlus, laporan itu menyimpulkan usaha tersebut gagal memperbaiki prestasi jenama berkenaan.
Dengan anggaran sekitar satu peratus pegangan pasaran global, mengekalkan OnePlus sebagai jenama berasingan kini dilihat tidak lagi berdaya saing.
Buat pengguna sedia ada, Android Headlines menjangkakan sokongan dan kemas kini masih akan diteruskan. Namun dari sudut perniagaan, masa depan OnePlus kini dilihat semakin kabur.
Terdahulu, realme turut dilapor yang akan diintegrasikan dan kembali menjadi subjenama OPPO.
{suggest}
