Siri P dalam keluarga Huawei adalah merupakan model kelas andalan memfokuskan pengalaman fotografi premium. Menariknya, siri P Huawei juga sering dijadikan rujukan dan petanda aras prestasi low-light mana-mana telefon.
Untuk model terbaharu, kita ada Huawei P50 Pro yang dijangka akan jadi telefon dengan kamera paling cantik dalam keluarga Huawei. Namun benarkah perkara itu?
Artikel ini, kami akan membandingkan kamera Huawei P50 Pro dengan generasi sebelumnya Huawei P40 Pro+ dari aspek low-light.
Ketika pengenalan Huawei P40 Pro+ itu sendiri, ia sudah pun dikenali sebagai antara telefon dengan kamera yang sangat baik. Dengan adanya Huawei P50 Pro, mari kita lihat adakah Huawei berjaya meningkatkan lagi keupayaan kamera telefon mereka, atau ada perbezaan ketara dari segi kualitinya.
Terlebih dahulu, mari kita mengintai apakah spesifikasi kedua-dua telefon ini.
Spesifikasi Kamera Huawei P40 Pro+
- Utama: 50MP (f/1.9), 1/1.28″, 1.22µm, OIS
- Sudut lebar: 40MP, (f/1.8)
- Telefoto (Periskop): 8MP (f/4.4), OIS, Zum optikal 10x
- Telefoto: 8MP (f/2.4), PDAF, OIS, Zum optikal 3x
- Depth: TOF 3D
- Swafoto: 32MP (f/2.2)
Spesifikasi Kamera Huawei P50 Pro
- Utama: 50MP (f/1.8), 1/1.5″, 1µm, OIS
- Sudut lebar: 13 MP (f/2.2)
- Telefoto (Periskop): 64MP (f/3.5), PDAF, OIS, Zum optikal 3.5x
- Monokrom: 40MP (f/1.6)
- Swafoto: 13 MP (f/2.4)
Analisis Spesifikasi
Di atas kertas, kedua-dua telefon mempunyai strategi berbeza dalam menawarkan pengalaman dan definisi ‘kamera yang cantik’.
Huawei P40 Pro+ melebihkan aspek zum dengan kewujudan 2 lensa – satu periskop 10X optikal dan satu lagi telefoto biasa dengan optikal 3x. Ideanya adalah untuk memberikan pengalaman zum lebih lancar dari 1x sehingga 10x dengan meletakkan pelincir antara kedua-dua zum itu.
P40 Pro+ juga menyertakan unit depth TOF 3D untuk anggaran jarak bertujuan yang digunakan untuk ketepatan mod potret.
Untuk Huawei P50 Pro pula, sedikit pelik kerana sensor utama yang digunakan sebenarnya sedikit lebih kecil. Ini menjadikan saiz pixel lebih kecil dari 1.22micron P40 Pro+ kepada 1micron P50 Pro.
Tetapi Huawei menyeimbangkan situasi ini dengan menyertakan saiz bukaan (aperture) lebih besar. Sedikit menyedihkan yang mana lensa sudut lebar sudah tidak menjadi keutamaan lagi, hanya 13MP sahaja dengan f/2.2. Telefoto periskop pula hanya setakat zum optikal 3.5x namun Huawei menggunakan sensor beresolusi tinggi 64MP untuk mendapatkan butiran yang banyak.
Namun spesifikasi tak mencerminkan pengalaman, jadi jom kita lihat telefon mana yang lebih hebat dalam memberikan kualiti low-light paling baik.
Hasil Dapatan Perbandingan
Saya menjumpai beberapa perkara yang agak konsisten antara kedua-dua telefon untuk kualiti kameranya. Melalui beberapa gambar yang dibandingkan, saya dapati:
- Gambar P40 Pro+ lebih tajam
- Gambar P40 Pro+ lebih neutral
- Gambar P50 Pro lebih pekat warnanya (vibrant)
- Gambar P50 Pro banyak yang ‘kabur’
- Gambar P50 Pro+ terlalu agresif noise reduction nya
Cuma kelebihan yang saya perasan pada Huawei P50 Pro adalah HDRnya lebih baik dari P40 Pro+. Tambahan gambar Night Mode lebih pantas untuk diambil. Jika pada Huawei P40 Pro+, gambar mod malam mengambil masa sehingga 6 saat, P50 Pro hanya mengambil masa tidak lebih dari 2 saat sahaja.
Mari kita lihat gambar pertama.
Ini adalah gambar yang diambil menggunakan mod auto, bukannya mod malam.Sekilas pandang, boleh dilihat kedua-dua telefon mengambil pendekatan berbeza untuk mencantikkan gambar. Huawei P50 Pro lebih cerah daripada Huawei P40 Pro. HDRnya juga lebih bagus dengan kawasan gelap masih mampu mengeluarkan butiran. Daun-daun juga tidak segelap pada P40 Pro+. Betul, tetapi tidak dinafikan gambar P50 Pro lebih ‘comot’ dengan pembiasan dan pantulan cahaya yang bersepah.
P40 Pro+ lebih kemas dan sebenarnya lebih tajam jika dizum. Mungkin ada yang memilih P50 Pro lebih baik kerana lebih cerah, namun saya lebih suka dengan hasil tangan P40 Pro+.
Gambar kedua ini masih lagi mod auto. Kali ini memang nampak jelas dari segi perbezaan bagaimana kedua-dua karakter telefon memproses imej. Seperti gambar pertama, P50 Pro juga lebih cerah dengan HDR juga sedikit lebih baik terutamanya pada kawasan gelap.
Di sini, white balance P50 Pro lebih ‘panas’ manakala P40 Pro+ lebih kepada neutral yang mana saya lebih suka. Dengan kombinasi white balance itu, keseluruhan imej P50 Pro lebih ‘ceria’ dengan warna lebih meriah.
Namun, apabila dizum, gambar P50 Pro lebih licin dengan jumlah hingar yang kurang. Ini berbeza dengan P40 Pro+, hingar agak jelas kelihatan bermakna Huawei lebih agresif untuk menghilangkan hingar pada P50 Pro. Terdapat kesan yang ketara apabila Huawei memilih untuk berbuat sebegini.
Yang pertama dari segi yang ‘baiknya’, gambar akan kelihatan lebih bersih. Tetapi, dari aspek lain ia juga bermaksud data dari gambar telah dihilangkan. Dengan kata lain Huawei P40 Pro+ gambarnya lebih tajam. Anda juga boleh lihat dari di bahagian langit. Cuba perhatikan apa yang hilang pada gambar P50 Pro. Nampak sangat kesan pasca pemprosesan agresif ini sudah memakan diri.
Mod Malam
Beralih kepada Night Mode, pengalaman menangkap gambar menggunakan mod malam antara kedua-dua telefon agak berbeza. Ini adalah kerana untuk gambar ini, P40 Pro+ mengambil masa selama 6 saat tetapi P50 Pro hanya 1/10 saat sahaja.
Ini memberikan sedikit kelebihan kepada P40 Pro+ untuk tampil dengan HDR sedikit lebih baik, bermakna masa tangkapan yang lama itu membenarkan cahaya memenuhi setiap pelusuk imej. Tetapi gambar P40 Pro+ dilihat mengalami kesan oversharpening.
Pewarnaan P50 Pro lebih agresif jika di mod malam, gambar lebih kuning dan kurang menarik seperti P40 Pro+. Sekali lagi gambar pada P40 Pro+ lebih tajam (cuba lihat butiran pada badan lori. Gambar P50 Pro lebih clean namun butiran seakan tak cukup, menjadikannya seperti gambar biasa-biasa.
Bagaimana pula dengan sudut lebar?
Gambar ini mungkin saya sedikit tersalah framing subjek di mana gambar P50 Pro sampai terkeluar cahaya sauron. Tetapi saya nak tekankan pada karakter dan pasca pemprosesan yang Huawei gunakan untuk P50 Pro itu.
Mengikut tema gambar-gambar sebelum ini, warna pada Huawei P50 Pro lebih agresif, dan juga paling penting, butiran yang kurang apabila dizum. Jika diikutkan saya, gambar P40 Pro+ lebih clean dan tenang mata ditatap.
Anda juga perlu faham yang mana P40 Pro+ menggunakan sensor 40MP, resolusinya lebih tinggi dari 13MP P50 Pro. Ini juga faktor mengapa gambar sudut lebar P50 Pro kurang tajam seperti P40 Pro+.
Zum Pun Sama?
Kedua-dua telefon mampu untuk zum sehingga 100x. Tetapi hasil zum 100x sememangnya jauh berbeza. Cuba perhatikan gambar pada P50 Pro, licin selicin-nya. Butiran habis hilang. Nampak seperti lukisan cat air.
Lain Gambar Perbandingan
Di sini saya sertakan beberapa lagi kepingan gambar untuk anda lihat perbandingan antara kedua-dua hasil kamera supaya anda sendiri pun boleh buat konklusinya. Cuba perhatikan butiran antara mereka.
Rumusan
Untuk natijah artikel, tidak dinafikan Huawei P50 Pro masih lagi merupakan telefon dengan kamera yang baik. Lebih-lebih lagi untuk pencahayaan low-light. Namun, saya lebih merasakan Huawei P40 Pro+ lebih konsisten dari segi penyampaian hasilnya. Ini termasuklah white balance lebih neutral serta warna tidak seagresif dan melampau P50 Pro. Aspek ketajaman gambar dan pengawalan cahaya (exposure) juga satu keutamaan yang menyebabkan kenapa imej P40 Pro secara objektifnya lebih bagus.
Mungkin Huawei cuba untuk memilih pendekatan pasca pemprosesan lebih vibrant dan juga lebih clean melalui pembuangan hingar yang agak ganas. Tetapi jika ini yang dipersembahkan melalui pendekatan itu, saya kurang gemar kerana kualiti pada P40 Pro+ lebih menarik hati saya.
Namun begitu, kredit perlu diberikan kepada P50 Pro kerana kebanyakan masanya HDR adalah lebih baik, kawasan yang gelap lebih banyak perincian berbanding P40 Pro+.
Pada masa yang sama, ini mungkin sesuatu yang boleh diselesaikan melalui kemaskini perisian memandangkan perkakas kamera yang ada pada P50 Pro sudah cukup berkuasa sebenarnya.
Saya juga tidak lari untuk berpendapat adakah faktor penggunaan cip Snapdragon 888 menjadi punca ‘kelemahan’ ini – disebabkan sebelum-sebelum ini Huawei menggunakan cip Kirin yang mana Huawei mungkin lebih mahir dalam pengurusan image signal processing (ISP) cara mereka sendir
Jika anda memilih Huawei P50 Pro disebabkan kameranya lebih baik dari telefon pendahulu, saya rasa mungkin anda perlu berfikir semula jika melihat sebegini hasil perbandingannya.
Mungkin ada yang suka dengan kualiti kamera P50 Pro, mana tahu? Kalau suka, telefon ini mungkin untuk anda.