Pokémon Go Masih Lagi Popular, Raih Pendapatan Tertinggi Untuk Tahun 2019 Sejak Ia Diperkenalkan

Kebanyakan permainan akan hilang pemain mereka dari tahun ke tahun. Ia adalah sesuatu yang normal dan biasa dilihat dalam industri permainan. Jadi, pembangun permainan terpaksa bekerja keras untuk menambah fungsi dan mod baharu untuk mengekalkan minat pemain terhadap permainan mereka. Pokémon Go merupakan antara permainan yang menerima sambutan hangat ketika awal pelancarannya pada tahun 2016.

Berdasarkan maklumat dari Sensor Tower, pada tahun tersebut Pokémon Go meraih pendapatan sebanyak RM3.4 billion. Namun jumlah itu berkurang kepada RM2.4 billion pada tahun 2017. Tahun ini memperlihatkan ramai pemain menceroboh kawasan larangan/milik orang lain dan juga mengakibatkan kemalangan.



Tahun 2018, permainan itu seakan membuat comeback dengan pendapatan tahunan RM3.3 billion. Sehinggalah pada tahun 2019 lalu, permainan tersebut mendapat pendapatan tahunan tertinggi sejak ia dilancarkan dengan jumlah RM3.6 billion. Jumlah itu bukan jumlah yang kecil, tetapi apa yang menarik adalah pendapatan tahun 2019 yang melebihi tahun pelancarannya membuktikan Niantic Labs (pembangun permainan) tahu apa yang perlu dibuat untuk memastikan permainan itu kekal popular dimainkan.

Menurut Sensor Tower, pertumbuhan pendapatan Pokémon Go datangnya dari berbagai acara dalam permainan dan juga kemaskini berterusan terhadap permainan tersebut. Laporan itu turut menyebut pengenalan Team Rocket pada Julai 2019 merupakan antara penyebab utama peningkatan pendapatan mereka.

Dikatakan pendapatan utama untuk tahun 2019 itu datangnya dari Amerika Syarikat dengan jumlah 38% dari jumlah keseluruhan. Ia diikuti oleh Jepun dengan 32%, dan juga Jerman dengan 6%.

Memasuki tahun 2020, adakah Niantic Labs boleh mengekalkan populariti permainan dengan resepi yang sama? Sama-sama kita perhatikan.

Sumber: Sensor Tower

Berkaitan