Poco X2 Dilancarkan - Jelmaan Semula Redmi K30?

Setelah berminggu-minggu lamanya mendengar khabar angin mengenai peranti ke-2 Poco iaitu Poco X2, akhirnya ia selamat dilancarkan. Namun sedikit mengecewakan kerana ia hanya menggunakan cip kelas pertengahan sahaja. Spesifikasi keseluruhan pun adalah sama dengan Redmi K30 yang baru sahaja dilancarkan beberapa bulan lalu.

Bermula dengan paparan, Poco X2 dilengkapi dengan 6.67 inci IPS LCD FullHD+ (20:9) dengan kadar segar semula 120Hz. Di bahagian paparan terdapat kamera berbentuk pil yang memuatkan dua lensa iaitu 20MP swafoto utama dan juga 2MP lensa depth.



Bahagian belakang adalah panel kaca Gorilla Glass 5 dan direka secara 3D untuk genggaman selesa.

Cip pemprosesan pula dijana oleh Snapdragon 730G 8nm berserta pilihan 6GB/8GB RAM LPDDR4X. Storan dalaman pula bersaiz 64GB/256GB dibantu dengan UFS 2.1. Terdapat juga sokongan microSD sehingga 512GB jika storan tidak mencukupi.



Untuk permainan, peranti dimuatkan dengan Game Turbo generasi ke-2. Turut membantu prestasi adalah teknologi LiquidCool untuk penyejukan peranti sama seperti yang terdapat pada model F1.

Bahagian kamera belakang pula, peranti dilengkapi dengan tetapan 4 kamera iaitu 64MP Sony IMX686 utama (f/1.89), 8MP lensa ultralebar (f/2.2) dengan 120 darjah pandangan, 2MP lensa depth (f/2.0), dan juga lensa makro 2MP (f/2.4).



Bateri peranti bersaiz 4500mAh dan turut menyokong pengecasan pantas 27W yang disertakan bersama pembelian. Melalui pengecasan tersebut, ia boleh mengecas peranti sehingga penuh dalam 68 minit.



Antara fungsi lain peranti termasuklah bicu audio 3.5mm yang juga turut menyokong Hi-Fi DAC dengan pemacu Qualcomm Aqstic WCD937x. Selain itu, Poco X2 juga mempunyai lapisan perlindungan P2i kalis renjisan air, sokongan infrared dan juga VoWiFi.



Peranti mempunyai 3 pilihan warna dari Atlantis Blue, Matrix Purple, serta Phoenix Red. Di India, peranti ini dijual bermula harga rs 15,999 (~RM925) untuk model asas manakala varian paling tinggi berharga rs 19,999 (~RM1,156).

Sumber: Poco

Berkaitan