Platform E-Dagang Yang Jual Barang Cetak Rompak Akan Disekat SKMM

Produk cetak rompak adalah jalan singkat kepada sesetengah pengguna untuk memiliki produk kerana harga penawaran yang lebih rendah. Disebabkan itu juga, produk-produk sebegini mendapat sambutan ramai.

Namun begitu, ia secara tidak langsung merosakkan industri kerana ia bukanlah rasmi dari seseuatu pengeluar. Boleh jadi ada kerosakan, perisian tambahan atau lain-lain yang boleh menyusahkan pengguna.

Ini adalah mengapa kerajaan giat untuk membanteras kegiatan cetak rompak. Terkini, berikutan lambakan produk cetak rompak yang dijual di platform e-dagang, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak akan menyekat platform tersebut.

SKMM menyatakan bahawa tindakan menyekat ini akan dilakukan selepas mendapat makluman dari  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan lain-lain yang menjual mana-mana barangan cetak rompak selepas ini akan diperhatikan oleh pihak SKMM secara rapat.

Kenyataan ini lebih ditujukan kepada penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak disebabkan sebelum ini banyak filem-filem sebegitu dijual dalam harga rendah tidak masuk akal.

Walau bagaimanapun, sudah tentu pengurusan platform e-dagang akan lebih berhati-hati dan teliti untuk memastikan produk yang ditawarkan lebih mengikut panduan dari kerajaan.

 

Berkaitan