Plastik pernah dianggap sebagai bahan ajaib yang merevolusikan kehidupan moden, ringan, tahan lama, dan murah.
Namun, kebergantungan manusia terhadap plastik telah mencetuskan krisis pencemaran yang kini mengancam ekosistem laut dan kesihatan manusia.

Sejak pengeluaran plastik bermula secara besar-besaran pada tahun 1950, dunia telah menghasilkan lebih 9.2 bilion tan plastik.
Daripada jumlah itu, lebih 6.9 bilion tan telah menjadi sisa, dan 6.3 bilion tan pula tidak pernah dikitar semula.
Akhirnya, sebahagian besar plastik ini berakhir di lautan, menjadikan laut sebagai “tong sampah terakhir” bumi.
Setiap tahun, antara 5.3 hingga 14 juta tan plastik dibuang ke laut, kebanyakannya dari kawasan pantai di Asia.
Sungai seperti Pasig di Manila dan Buriganga di Dhaka menjadi saluran utama pencemaran plastik, membawa sisa dari kawasan bandar ke laut terbuka.

Hidupan marin terjejas
Kesan terhadap hidupan marin amat membimbangkan. Hampir 700 spesies telah terjejas, termasuk yang terancam.
Plastik bukan sahaja menjerat haiwan seperti penyu dan burung laut, malah serpihan mikroplastik kini ditemui dalam tubuh ikan, zooplankton, dan juga ais di Artik.
Kajian menunjukkan mikroplastik boleh terurai menjadi nanoplastik yang berpotensi masuk ke dalam tisu haiwan dan manusia.

Walaupun plastik menyumbang kepada kemajuan teknologi dan perubatan, penggunaannya yang tidak terkawal—terutamanya dalam bentuk pembungkusan sekali guna menjadi punca utama pencemaran.
Sistem lemah
Di negara membangun, sistem pengurusan sisa yang lemah menambahkan lagi krisis ini dengan ibuan pemungut sampah bergantung kepada plastik untuk pendapatan walaupun kebanyakan plastik masih tidak boleh dikitar semula.

Namun begitu, penyelesaian kepada masalah ini bukanlah mustahil.
Pakar mencadangkan pendekatan dua hala iaitu dengan reka bentuk plastik yang lebih mudah dikitar semula atau terbiodegradasi, dan sistem kutipan sampah yang lebih efisien.
Cadangan seperti cukai global ke atas resin plastik juga pernah dibangkitkan untuk membiayai sistem pengurusan sisa di negara miskin.

Namun, apa yang lebih penting adalah tahap kesedaran dan peranan yang diaminkan setiap individu juga amat penting dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan menyokong kitar semula sekaligus menangani isu ini secara bersama.
Plastik bukan musuh, tetapi cara kita mengguna dan menguruskannya perlu diubah.
Dunia perlu beralih daripada budaya “buang dan lupa” kepada sistem yang menghargai setiap bahan yang dihasilkan.
{suggest}
