Pixel 4a Mungkin Tiada Versi XL

Lebih kurang seminggu yang lalu, kita dihidangkan dengan khabar angin menyebut mengenai Pixel 4a. Informasi awal berkaitan dengan peranti itu, ia dikatakan tampil dengan rekaan modul kamera belakang yang sama seperti Pixel 4. Tetapi hanya satu kamera sahaja.

Panel hadapan dengan bezel nipis tanpa sebarang rekaan takuk dimana ia mungkin menggunakan paparan berlubang. Dari segi saiz, desas-desus menyatakan ia akan tampil dengan paparan 5.7-5.8 inci. Ia agak kecil dan rata-rata peminat mengharapkan Google akan menghadirkan saiz paparan yang lebih besar menerusi versi XL.

Namun begitu, Pixel 4a mungkin tidak seperti siri yang terdahulu iaitu Pixel 3a yang mempunyai versi XL. Perkara ini diutarakan oleh YouTuber popular, Dave Lee. Hal ini kerana Pixel 3a XL tidak mendapat sambutan yang menggalakkan seperti Pixel 3a. Disebabkan itu, Pixel 4a XL mungkin tidak akan dilancarkan pengeluar tersebut.

Selain daripada menyatakan kemungkinan tiadanya versi XL, Lee turut berkongsi tentang pilihan warna yang bakal mengiringi Pixel 4a. Difahamkan tiga pilihan warna itu adalah hitam, putih dan biru.

pixel 4a Kapsyen: Imej | Dave Lee


Google Pixel sebelum ini hanya menawarkan peranti untuk kelas atasan, namun bermula tahun lalu Pixel 3a dan 3a XL diperkenalkan. Ia disasarkan kepada pembeli segmen pertengahan. Mampukah Pixel 4a ini mengembalikan keceriaan peminat setelah kecewa dengan Pixel 4?

Sumber: Dave Lee