Perisian Cetak Rompak Didakwa Penyebab Lebih 1.2 TB Data Dicuri

Pelbagai perisian komputer dibangunkan saban tahun dan sejak awal lagi, ia dihantui dengan masalah cetak rompak. Apa tidaknya, perisian yang mungkin dijual ratusan ringgit atau langganan ribuan ringgit boleh dimuat turun secara percuma di internet.

Ini bukan masalah baru, walaupun kita sudah sekian lama didedahkan tentang bahayanya pemasangan perisian cetak rompak pada peranti. Mungkin ia percuma, tetapi ada 'perkara' yang perlu dibayar.

Menurut laporan dari NordLocker, terdapat perisian hasad yang sudah menular dalam tempoh dua tahun kebelakangan iaitu antara 2018 hingga 2020. Apa yang mengejutkan adalah perisian hasad tersebut sudahpun menyelinap masuk ke lebih dari 3.2 juta komputer.

Ia masih belum mempunyai nama kerana baru sahaja dikesan dan kaedah untuk menyerang komputer pengguna adalah berselindung disebalik perisian cetak rompak. Contoh seperti perisian permainan komputer dan Adobe Photoshop

Dianggarkan 1.2 TB data peribadi telah dicuri perisian hasad tersebut dari komputer yang dijangkiti. Antaranya adalah fail yang terletak di Desktop, Download, serta dari format, imej, Word, teks dan banyak lagi.

Turut membimbangkan adalah perisian hasad tersebut mampu mengakses kamera web komputer dan merakam gambar pengguna. NordLocker juga menyatakan bahawa perisian hasad ini boleh didapati dari forum di dark web dan laman sembang tertutup pada harga sekitar $100 (~RM411).

Pembangun perisian bukan sahaja menjual, malah memberi tunjuk ajar cara penggunaan serta bagaimana mahu mendapatkan keuntungan dari data yang telah dicuri.

 

Sumber: NordLocker