Teknologi bateri telefon pintar adalah agak bagus pada masa ini. Tetapi, ada satu perkara yang mungkin peminat gajet merasa tidak pernah cukup iaitu jangka hayat bateri yang lebih baik. Alangkah indahnya jika kuasa peranti boleh bertahan sehingga dua ke tiga hari.
Dengan kewujudan bateri graphene, ia mungkin menjadi kenyataan untuk memiliki peranti dengan bateri yang mampu bertahan lama. Namun, mungkin ada yang tidak tahu apakah bateri graphene, dan bagaimana ia akan mempengaruhi industri telefon pintar?
Bateri graphene masih belum digunakan dalam mana-mana telefon pintar dan peranti lain lagi, tetapi teknologi ini sedang berjalan. Di masa hadapan, graphene mungkin boleh menjadi bateri yang boleh menggantikan lithium-ion, iaitu bateri yang sedia digunakan dalam industri teknologi selama beberapa dekad ini.
Apakah bateri Graphene?
Secara ringkas, graphene adalah komposisi karbon atom yang terikat dalam struktur heksagon. Apa yang membuatkan graphene begitu unik adalah kerana strukturnya hanya mempunyai satu lapisan atom yang tebal, pada asasnya menjadikan lapisan graphene kepada dua dimensi.
Struktur 2D ini menghasilkan sifat yang sangat menarik, termasuk aliran elektrik dan haba yang sangat baik, fleksibiliti dan kekuatan yang tinggi, serta lebih ringan. Apa yang menarik mengenai aliran elektrik dan haba adalah mempunyai unsur logam yang lebih tinggi dari tembaga (copper) dan dianggap mesra alam.
Bercakap mengenai bateri pula, keupayaan graphene dapat digunakan dalam beberapa cara. Penggunaan ideal graphene sebagai bateri adalah “supercapacitor” dimana ia lebih tahan lama dan sesuai untuk penyimpanan tenaga berkapasiti tinggi, serta dapat memendekkan masa pengecasan.
Graphene vs Lithium-ion
Sama seperti bateri lithium-ion, sel-sel graphene menggunakan dua plat konduktif yang dilapisi dengan bahan yang boleh diserap dan direndam dalam larutan elektrolit. Walaupun ciri dalaman kedua-dua bateri ini agak sama, namun ia menawarkan ciri-ciri yang berbeza.
Graphene menawarkan aliran elektrik yang lebih tinggi berbanding bateri lithium-ion. Ia membolehkan pengecasan yang cepat dapat menyampaikan arus elektrik yang tinggi. Aliran haba yang tinggi juga bermakna bateri dapat berfungsi dengan lebih sejuk, dan sebagainya.
Penggunaan graphene mampu memanjangkan hayat bateri, dikaitkan dengan jumlah karbon yang bersalut pada bahan atau ditambahkan pada elektrod untuk mencapai aliran. Selain itu, graphene menambah aliran elektrik tanpa memerlukan jumlah karbon yang digunakan dalam bateri sedia ada.
Bateri graphene juga adalah lebih ringan dan nipis berbanding lithium-ion. Ini bermakna,peranti yang lebih kecil, nipis atau mempunyai kapasiti yang besar tidak memerlukan ruang tambahan. Bukan itu sahaja, graphene membolehkan kapasiti yang lebih tinggi. Jika lithium-ion boleh menyimpan sehingga 180Wh tenaga per kilogram, graphene pula mampu menyimpan sehingga 1000Wh bagi setiap kilogram.
Yang paling penting, bateri graphene adalah lebih selamat. Ini tidak bermakna lithium-ion kurang selamat. Ia mempunyai rekod keselamatan yang sangat baik, namun terdapat beberapa kejadian seperti bateri terbakar melibatkan produk dikuasakan oleh bateri jenis ini.
Masalah panas melampau, pengecasan yang berlebihan boleh menyebabkan ketidakseimbangan kimia dalam bateri lithium-ion dan mengakibatkan kebakaran. Bateri graphene adalah lebih stabil, fleksibel dan lebih kuat serta mampu mengatasi isu tersebut.
Penggunaan bateri graphene pada telefon pintar
Telefon pintar yang menggunakan bateri graphene pada masa akan datang dapat menikmati ciri-ciri yang dinyatakan di atas. Ia dapat mengecas dengan lebih cepat, jangka hayat bateri yang dapat bertahan sehingga dua ke tiga hari atau lebih, dan mungkin menjadi lebih nipis dan ringan.
Bateri graphene mampu menawarkan kapasiti 60% atau lebih berbanding saiz yang sama bagi bateri lithium-ion. Digabungkan dengan pelepasan haba yang lebih baik, bateri yang lebih sejuk akan memanjangkan jangka hayat peranti juga. Anda mungkin tidak perlu menggantikan bateri dengan harga yang mahal selepas beberapa tahun digunakan bagi memastikan peranti anda masih berfungsi dalam keadaan baik.
Walaupun teknologi bateri graphene masih dalam kajian, ia merupakan khabar yang menggembirakan bagi telefon pintar, gadget, kenderaan elektrik pada masa hadapan. Sudah tentu, ia mampu menggantikan bateri lithium-ion dengan menawarkan ciri-ciri yang lebih baik.
Sumber: Graphene-Info, Android Authority