Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Peranti Mampu Milik Naik Harga, Pasaran Telefon Pintar Malaysia Susut 19%

Posted on Mei 19, 2026Mei 19, 2026

Laporan terbaru pasaran telefon pintar di Asia Tenggara oleh Omdia mencatatkan penurunan sebanyak 9% pada suku pertama 2026, dengan jumlah penghantaran hanya 21.6 juta unit.

Malah pasaran telefon pintar Malaysia juga mencatatkan penurunan ketara iaitu sebanyak 19% pada suku pertama 2026.

Menurut Omdia, penurunan ini sebahagian besarnya didorong oleh kejatuhan lebih 30% peranti dalam segmen bawah USD200 (~RM800), yang selama ini menjadi tulang belakang volum jualan di negara ini.

Omdia berkata, kenaikan kos komponen memori seperti DRAM dan NAND telah memaksa pengeluar menaikkan harga sambil mengurangkan spesifikasi pada model tertentu.

Contohnya, Xiaomi menaikkan harga Redmi Note 15 4G kepada RM799 berbanding RM699 untuk model sebelumnya, sementara varian 5G mengekalkan harga RM899 tetapi dengan RAM dan storan lebih rendah.

Untuk model lebih tingginya pula, Redmi Note 15 Pro+ dilancarkan dengan konfigurasi memori lebih tinggi (12GB/512GB) pada harga RM1,899, naik daripada RM1,599 sebelum ini.

Omdia menyalahkan kenaikan kos memori DRAM dan NAND sebagai faktor utama yang mendorong pengeluar menaikkan harga sambil mengekang bekalan untuk melindungi margin keuntungan tanpa membebankan keseluruhan kos kepada pengguna.

Bagi pengguna Malaysia, kesannya ialah tekanan memiliki peranti mampu milik semakin meningkat, terutamanya bagi mereka yang bergantung pada telefon pintar bajet.

Dari segi kedudukan vendor dalam pasaran Asia Tenggara, Samsung mendahului dengan 4.6 juta unit (21% pasaran), dipacu oleh pelancaran siri S26 dan A-series.

OPPO berada di tempat kedua dengan 4.2 juta unit, namun merosot 17% akibat penyusunan semula operasi bersama realme, manakala  Xiaomi jatuh 12% kepada 3.7 juta unit kerana kenaikan harga.

Sementara TRANSSION mengekalkan kedudukan kukuh di Indonesia dan Filipina dengan 3.4 juta unit, dengan vivo merosot 27% selepas menarik diri daripada segmen mampu milik.

Indonesia mengalami penurunan terbesar (-17%), manakala Thailand mencatatkan pertumbuhan kecil (+2%).

Secara keseluruhan, Omdia melihat strategi vendor kini lebih menekankan keuntungan berbanding volum, dengan penyesuaian harga dan spesifikasi untuk mengimbangi kos komponen yang meningkat menerusi penawaran model-model premium untuk mengekalkan daya saing dalam pasaran yang semakin mencabar.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress