Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Media Sosial

Perancis Masih Pertimbang Haramkan Media Sosial Untuk Pengguna Umur Bawah 15 Tahun

Diterbitkan Januari 14, 2026 oleh ariff bukhari

Media sosial menjejaskan kesihatan mental remaja, khususnya golongan perempuan, menurut badan pengawas kesihatan Perancis pada Selasa, ketika negara itu sedang membahaskan larangan akses media sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

Pengumuman hasil kajian saintifik oleh panel pakar dibuat selepas Australia menjadi negara pertama yang melarang platform utama termasuk Instagram, TikTok dan YouTube untuk remaja bawah 16 tahun bulan lalu, sementara negara lain mempertimbangkan langkah sama.

Penggunaan media sosial bukan satu-satunya punca kemerosotan kesihatan mental remaja, namun kesan negatifnya adalah “banyak” dan telah didokumentasikan dengan baik, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan Awam Perancis (ANSES) dalam pendapat rasminya, hasil kerja lima tahun jawatankuasa pakar.

Perancis kini sedang membahaskan dua rang undang-undang, termasuk satu yang disokong Presiden Emmanuel Macron, untuk mengharamkan media sosial kepada kanak-kanak bawah 15 tahun.

ANSES mengesyorkan tindakan diambil “di peringkat punca” bagi memastikan kanak-kanak hanya mengakses rangkaian sosial yang “direka dan dikonfigurasikan untuk melindungi kesihatan mereka”.

Ini bermakna platform perlu mengubah algoritma diperibadikan, teknik memujuk serta tetapan lalai mereka, menurut agensi itu.

“Kajian ini menyediakan hujah saintifik untuk perbahasan mengenai media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini: ia berdasarkan 1,000 kajian,” kata ketua panel pakar, Olivia Roth-Delgado, pada sidang media.

Menurut ANSES, media sosial boleh mewujudkan “ruang gema yang belum pernah berlaku sebelum ini” yang mengukuhkan stereotaip, menggalakkan tingkah laku berisiko dan menyemarakkan buli siber.

Kandungan di platform juga menggambarkan standard kecantikan tidak realistik melalui imej yang diubah secara digital, yang boleh menjejaskan harga diri remaja perempuan dan mewujudkan risiko kemurungan atau gangguan pemakanan.

Remaja perempuan — yang menggunakan media sosial lebih kerap berbanding lelaki — turut terdedah kepada tekanan sosial berkaitan stereotaip jantina, menurut laporan itu.

Golongan ini lebih terkesan oleh bahaya media sosial, begitu juga individu LGBT dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental sedia ada.

Pada Isnin, gergasi teknologi Meta menggesa Australia menilai semula larangan media sosial remaja, sambil melaporkan bahawa lebih 544,000 akaun Instagram, Facebook dan Threads telah disekat di bawah undang-undang baharu itu.

Meta berkata ibu bapa dan pakar bimbang larangan tersebut boleh mengasingkan remaja daripada komuniti dalam talian, serta mendorong mereka ke aplikasi yang kurang dikawal dan sudut gelap internet.

Sementara itu, platform X milik Elon Musk, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, berdepan kecaman global kerana membenarkan pengguna menggunakan chatbot AI Grok untuk menghasilkan imej seksual wanita dan kanak-kanak hanya dengan arahan mudah seperti “letakkan dia dalam bikini”.

– AFP.

Berkaitan

  • Nak Rumah Selamat, Privasi Terjaga 24/7? Unifi Ada Penyelesaian Pintar
  • Australia Kuat Kuasakan Larangan Akaun Media Sosial Pengguna Bawah 16 Tahun
  • Indonesia Jadi Negara Pertama Sekat Sepenuhnya AI Elon Musk

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Apple Perkenal Rangkaian Aksesori Rumah Pintar Baharu - Apple Home Collection
  • HomePod mini 2 Rasmi, Hadir Dengan Siri AI Dan Lampu Mengikut Muzik
  • Apple Lancar Apple TV 4K Baharu Dengan Cip A19 Dan Siri AI
  • Apple HomeView Kini Rasmi - Skrin Pintar 7-Inci, Dikuasakan Apple Intelligence Dengan Siri AI
  • Senarai Penuh Peranti OPPO, OnePlus Dan realme Yang Dijadual Terima Kemas Kini ColorOS 17
  • OPPO Kerjasama Dengan Manus, Bawakan Keupayaan AI Berasaskan Ejen Ke Telefon Pintar
  • TNB Sedang Teroka Potensi Tenaga Angin Di Sabah
  • MR D.I.Y. Perkenal 13 Perkakas Rumah Baharu, Harga Bermula RM27.90
©2026 WISER.MY