Kajian baharu yang dijalankan oleh penyelidik dari University of Southampton mendapati, zarah mikroskopik yang dilepaskan daripada pad brek tertentu boleh menjadi lebih toksik berbanding pelepasan asap dari ekzos kenderaan diesel.
Kajian yang diketuai oleh Dr. James Parkin dan Profesor Matthew Loxham menunjukkan bahawa kepekatan tembaga yang lebih tinggi dalam sesetengah pad brek dikaitkan dengan kesan berbahaya yang meningkat terhadap sel paru-paru manusia akibat zarah yang disedut.
Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam jurnal Particle and Fibre Toxicology.
Penyelidikan ini turut melibatkan sumbangan dan peralatan daripada NIHR Southampton Biomedical Research Centre (BRC).
Sebelum ini, tumpuan utama hanya diberikan kepada pelepasan asap ekzos.
Namun, zarah juga dilepaskan ke udara akibat geseran tayar, jalan, dan pad brek di mana sumber pencemaran ini kebanyakannya tidak dikawal oleh undang-undang.
Secara tidak sedar, sumber pencemaran bukan dari asap ekzos ini turut menjadi penyumbang utama kepada pelepasan zarah halus (PM) daripada kenderaan di UK dan sebahagian Eropah, dengan habuk brek menjadi faktor utama.
Peralihan kepada kenderaan elektrik semakin menonjolkan masalah ini. Dr. Parkin, seorang Felo Penyelidik dalam bidang Pencemaran Udara, menjelaskan:
“Orang ramai biasanya menganggap pencemaran daripada kenderaan hanya berasal dari ekzos dan menganggap kenderaan elektrik sebagai sifar pelepasan. Namun, kenderaan elektrik masih menghasilkan zarah halus akibat geseran jalan, tayar, dan brek. Kami ingin memahami bagaimana komposisi kimia pad brek yang berbeza mempengaruhi ketoksikan zarah yang dilepaskan dan kesannya terhadap kesihatan manusia.”
Para saintis menjalankan kajian mendalam mengenai kesan PM daripada empat jenis pad brek yang mempunyai komposisi kimia berbeza:
- logam rendah,
- separa logam,
- organik tanpa asbestos, dan
- seramik hibrid
Mereka memberi tumpuan kepada zarah terkecil, PM2.5 dan ke bawah, yang sekurang-kurangnya 30 kali lebih kecil daripada diameter rambut manusia.
Zarah ini mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru dan mencapai kantung udara halus yang penting dalam pertukaran oksigen dan karbon dioksida ke dalam aliran darah.
Zarah halus daripada pelbagai sumber dikaitkan dengan lebih empat juta kematian pramatang setiap tahun di seluruh dunia.
Zarah PM daripada pad brek dikumpulkan menggunakan peralatan khas.
Di makmal, pasukan Southampton menggunakan sampel sel daripada lapisan paru-paru dan mendedahkannya kepada PM untuk mengukur kesannya, seperti tekanan oksidatif, keradangan, dan kematian sel.
Hasilnya, para penyelidik mendapati bahawa pad brek dari organik tanpa asbestos adalah yang paling berbahaya dalam mencetuskan keradangan dan tanda ketoksikan lain.
Keputusan menunjukkan bahawa zarah daripada pad ini lebih toksik kepada sel paru-paru manusia berbanding zarah ekzos diesel.
Pad seramik hibrid adalah yang kedua paling toksik di mana kedua-dua jenis pad ini mengandungi kepekatan tembaga yang tinggi.
Eksperimen seterusnya menunjukkan bahawa apabila tembaga dikeluarkan, ketoksikan zarah turut berkurang.
Penemuan ini mencadangkan bahawa pengurangan kandungan tembaga dalam pad brek boleh membantu mengurangkan kesan berbahaya zarah PM daripada kenderaan.
Profesor Loxham, yang merupakan sebahagian daripada pasukan Respiratori dan Alergi di NIHR Southampton BRC, berkata:
“Penemuan ini mempunyai implikasi penting terhadap kesihatan dan dasar masa depan. Walaupun kita beralih daripada kenderaan diesel dan petrol kepada kenderaan elektrik, pelepasan zarah bukan ekzos akan terus wujud. Malah, pelepasan bukan ekzos mungkin meningkat kerana kenderaan elektrik lebih berat daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman dan menyebabkan geseran yang lebih tinggi.”
Para penyelidik mencadangkan bahawa undang-undang semasa, yang lebih tertumpu kepada pelepasan ekzos PM, mungkin tidak mencukupi untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat kenderaan pada masa hadapan.
{suggest}