Penyelidik Melaporkan Peralatan Telekomunikasi Huawei Adalah Yang Paling Kurang Selamat

Dapatan tersebut adalah hasil daripada analisis terhadap lebih daripada 9,000 firmware peralatan telekomunikasi Huawei.


Firma penyelidik keselamatan siber yang berpangkalan di Ohio, A.S, Finite State telah mengeluarkan laporan khas berkaitan dengan keselamatan peralatan teknologi telekomunikasi dari Huawei.

Dalam laporan yang bertajuk Finite State Supply Chain Assessment: Huawei Technologies Co., Ltd. menyebut, mereka telah menganalisis lebih daripada 1.5 juta fail yang mengandungi 9,936 firmware yang menyokong 558 produk-produk telekomunikasi keluaran Huawei.

Analisis tersebut dibuat menerusi sistem automasi yang dimiliki Finite State.

Kapsyen: Kajian kes perbandingan risiko firmware antara peralatan telekomunikasi Huawei CE12800 vs Juniper EX4650 vs Arista 7280R. Kredit: Finite State


Hasil daripada analisis tersebut penyelidik mendapati, peranti Huawei secara kuantitatif menimbulkan risiko yang tinggi kepada pengguna mereka. Malah berdasarkan hampir semua kategori yang diselidiki, mereka mendapati peranti Huawei adalah yang paling
kurang selamat berbanding peranti dari keluaran syarikat lain.

Melalui analisis itu juga, penyelidik menemui beratus-ratus kes penggodaman berpotensi berlaku akibat kelemahan ciri keselamatan yang ada di dalam produk Huawei. Jika berlaku sebarang  tetapan yang tidak betul dibuat ke atas peranti-peranti itu,
ia akan membolehkan penggodam mengakses peranti pengguna tanpa pengetahuan mereka.

Huawei kini sedang berdepan dengan tuduhan bahawa mereka membenarkan rangkaian diakses menerusi pintu belakang dari perkakasan 5G yang dibekalkan mereka. Ia telah menyebabkan syarikat gergasi China itu disenarai hitam daripada melakukan sebarang urusan dengan syarikat-syarikat teknologi A.S.

Malah negar-negara sekutu Amerika seperti Australia, Jepun dan New Zealand juga telah bertindak sama dengan menyekat sepenuhnya produk-produk Huawei daripada digunakan di dalam negara mereka.

Walaubagaimanapun sehingga ke hari ini, masih tiada bukti kukuh yang dapat membukti tuduhan tersebut.

Huawei merupakan satu-satunya syarikat dominan yang menguasai teknologi 5G di dunia yang menyebabkan pemerhati keselamatan siber melihat ia sebagai situasi yang kurang menyenangkan.

Sepertimana yang pernah dikatakan oleh Dr. Ian Levy, dari Pusat Keselamatan siber Nasional United Kingdom (NCSC) sebelum ini,

The market is fundamentally broken. We can’t possibly live in a world where only four or five companies provide all the critical infrastructure for a particular sector—that’s insane."

Mungkin disebabkan kurangnya persaingan pembangunan teknologi 5G terhadap syarikat tersebut telah menyebabkan negara-negara maju yang lain mengambil pendekatan berhati-hati serta cuba mewujudkan sentimen pada pengguna bagi memberikan pandangan negatif terhadap produk-produk keluaran Huawei.

Tambahan pula syarikat tersebut berpangkalan di China, negara yang ekonominya kini sedang berkembang pesat dalam cubaan mereka untuk menguasai ekonomi dunia bagi menandingi ekonomi Amerika Syarikat.

Sumber: Finite State