Jika anda merupakan pengguna Pixel, anda mungkin ingin beri perhatian terhadap penemuan baharu ini.
Ia ekoran laporan oleh penyelidik keselamatan dari Cybernews yang mendakwa Google menjejaki pengguna Pixel setiap 15 minit.
Penemuan itu dibuat menerusi analisis mereka terhadap trafik web dari telefon pintar Pixel 9 Pro XL, memfokuskan pada apa yang dihantar oleh telefon pintar baharu itu kepada Google.
Penyelidik mendapati, maklumat peribadi pengguna peranti itu berulang kali dihantar di latar belakang, termasuk alamat e-mel pengguna, nombor telefon, lokasi, senarai aplikasi dan telemetri dan statistik lain kepada Google.
“Setiap 15 minit, Google Pixel 9 Pro XL menghantar paket data kepada Google. Peranti berkongsi lokasi, alamat e-mel, nombor telefon, status rangkaian dan telemetri lain. Lebih membimbangkan, telefon secara berkala cuba memuat turun dan menjalankan kod baharu, yang berpotensi membuka risiko keselamatan,” kata Aras Nazarovas, seorang penyelidik keselamatan di Cybernews.
Penyelidik Cybernews juga mendapati, telefon itu sentiasa meminta “percubaan dan konfigurasi” baharu, cuba mengakses persekitaran dan menyambung ke pengurusan peranti dan penguatkuasaan dasar titik akhir yang mencadangkan kepada keupayaan kawalan jauh oleh Google.
Peranti Pixel juga disambungkan kepada perkhidmatan yang tidak digunakan, menyebabkan kebimbangan privasi dan pemilikan.
Tidak sekadar itu, aplikasi kalkulator dalam beberapa keadaan didapati membocorkan sejarah pengiraan kepada pengguna yang tidak disahkan dengan akses fizikal.
Walau bagaimanapun, hasil daripada analisis mendalam itu, penyelidik Cybernews menyimpulkan bahawa mereka percaya, potensi faedah yang ditawar peranti adalah melebihi potensi risiko.
Namun begitu, adalah penting untuk Google memastikan ketelusan, perlindungan dan kawalan pengguna terhadap peranti mereka.
{suggest}
Sumber: Cybernews