Bagi menjelaskan secara terang perbezaan dan kelebihan teknologi bateri kenderaan elektrik (EV) yang digunakan dalam dalam EV BYD dan Tesla, sekumpulan penyelidik telah membedah bateri dari 2 jenama EV terkemuka ini bagi menganalisis reka bentuk dan prestasi bateri tersebut.
Kedua-dua sel bateri dalam kajian itu diperiksa untuk sifat mekanikal, elektrik dan materialnya melibatkan bateri Tesla 4680 yang digunakan pada Tesla Model Y, 2022 serta bateri BYD Blade (2023) yang diperoleh penyelidik dengan mengimportnya dari China.
Perbezaan Antara Sel Tesla 4680 dan Sel BYD Blade
Hasil analisis mereka mendapati, perbezaan utama antara sel bateri Tesla 4680 dan sel bateri BYD Blade ialah formatnya.
BYD menggunakan format sel prismatik besar, manakala Tesla 4680 ialah sel silinder besar dengan isipadu yang lebih kecil di mana kedua-duanya mencerminkan trend peningkatan saiz sel dan pendekatan cell-to-pack.

Penyelidik berkata, Sel BYD mempunyai terminal sisi berulir, membolehkan sambungan antara sel yang boleh ditanggalkan dengan mudah yang merupakan ciri yang hanya terdapat dalam format prismatik.
Selain itu, sel ini dilengkapi pin di kedua-dua sisi untuk kedudukan mekanikal dalam konfigurasi pek bateri.
Perumah aluminium sel BYD dilapisi dengan foil polietilena tereftalat (PET) berpelekat sebagai penebat.
Sebaliknya, sel bateri Tesla 4680 menggunakan bekas keluli (kemungkinan bersalut nikel) tanpa penebat langsung pada perumah sel.
Berikut adalah antara dapatan utama hasil daripada analisis para penyelidik itu terhadap bedah siasat ke atas ke dua-dua sel bateri EV tersebut.
Bateri Tesla guna bahan mahal
Penyelidik mendapati, Tesla masih mereka bentuk baterinya dengan logik model tradisional (dengan bahan mahal dan kemasan yang dimaksudkan untuk enjin pembakaran).
Sebaliknya BYD telah mengubah sepenuhnya konsep kenderaan elektrik dengan menghapuskan komponen yang tidak perlu dan mengutamakan penyelesaian mudah untuk mengurangkan kos tanpa menjejaskan prestasi.
Bateri BYD lebih murah dihasilkan
Para penyelidik itu juga mengira kos setiap kilowatt-jam (kWj), dengan mengambil kira berat, bahan yang digunakan dan tenaga yang dijana oleh setiap sel.
Hasilnya jelas iaitu Bateri BYD adalah 10 euro (~RM48) lebih murah setiap kWj yang dihasilkan, yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak 600 euro (~RM2,900) bagi setiap bateri 60 kWj berbanding Tesla.
Kelebihan utama bateri BYD
Berbeza daripada bateri Tesla yang menggunakan litium ion, bateri BYD Blade menggunakan teknologi LFP (lithium iron phosphate).
Walaupun ketumpatan tenaganya lebih rendah berbanding bahan yang digunakan Tesla, menurut penyelidik, Bateri BYD Blade mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, lebih selamat, stabil, dan kos pengeluaran lebih rendah.
Faktor kos yang murah ini menjadi kelebihan utama BYD.
Sebaliknya, bateri Tesla 4680 yang terdiri daripada sel silinder besar meningkatkan ketumpatan tenaga dan jarak perjalanan.
Namun, menurut kajian, bateri Tesla 4680 menghasilkan dua kali lebih banyak haba berbanding bateri BYD, sekali gus memerlukan sistem penyejukan yang lebih maju dan mahal.
Ini bukan sahaja meningkatkan harga tetapi juga boleh menjejaskan ketahanan jangka panjang pek bateri EV Tesla.
Penyelidik dalam laporan mereka yang diterbitkan dalam Cell Reports Physical Science menyatakan, analisis perbandingan sel silinder Tesla 4680 dan sel prismatik BYD Blade menyerlahkan perbezaan mekanikal, elektrik dan bahan yang ketara yang boleh mempengaruhi lelaran reka bentuk sel bateri EV pada masa hadapan untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan tenaga dalam kenderaan elektrik.
{suggest}
Sumber: Union Rayo