Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
YouTube_featured wiser

Penguna Bakal Boleh Cipta Versi AI Sendiri Di YouTube

Diterbitkan Januari 22, 2026 · Dikemas kini Januari 22, 2026 oleh ariff bukhari

YouTube pada Rabu mengumumkan rancangan untuk membolehkan penggunanya mencipta versi AI diri mereka sendiri bagi perkongsian video tahun ini, setanding dengan ciri yang ditawarkan oleh Sora, aplikasi penciptaan video daripada pembangun ChatGPT, OpenAI.

“AI akan menjadi pemangkin kepada para pencipta kandungan yang bersedia untuk memanfaatkannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif YouTube, Neal Mohan, dalam surat tahunan yang menggariskan keutamaan platform itu bagi 2026.

Platform video milik Google itu melihat AI sebagai teknologi transformasi seterusnya dalam penciptaan kandungan, menyamakannya dengan inovasi terdahulu seperti synthesizer muzik dan Photoshop.

Menurut syarikat itu, lebih satu juta saluran menggunakan alat penciptaan AI YouTube setiap hari pada Disember lalu.

Mohan berkata YouTube merancang untuk memperluas penggunaan alat AI secara besar-besaran tahun ini, termasuk membolehkan pencipta menghasilkan permainan hanya melalui arahan teks ringkas.

Keupayaan menjana video pendek menggunakan rupa dan suara sendiri ini akan menyusuli ciri cameo Sora yang dilancarkan OpenAI tahun lalu, yang membolehkan pengguna memasukkan imej dan suara mereka ke dalam video janaan AI.

Google dan OpenAI kini bersaing sengit dalam bidang AI, dengan Google memperkenalkan keupayaan AI generatif ke dalam produk seperti Gmail dan Maps, selain mempromosikan chatbot Gemini sebagai pesaing kepada ChatGPT.

Dalam e-mel kepada AFP, Google memaklumkan butiran lanjut mengenai ciri baharu ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam suratnya, Mohan menegaskan bahawa “AI akan kekal sebagai alat ekspresi, bukannya pengganti” kepada pencipta manusia.

Kenyataan itu dibuat bagi menangani kebimbangan terhadap kualiti dan keaslian kandungan janaan AI, serta kebimbangan mengenai masa depan industri kreatif.

YouTube juga akan mewajibkan pendedahan kandungan yang diubah atau bersifat sintetik, selain menyediakan alat untuk membantu kreator mengurus penggunaan tanpa kebenaran imej atau rupa mereka dalam video AI.

Mohan turut berkata YouTube sedang membangunkan sistem untuk mengekang fenomena “AI slop” — kandungan automatik berkualiti rendah — dengan menyesuaikan langkah anti-spam dan anti-umpan klik sedia ada.

YouTube kekal sebagai platform penstriman paling banyak ditonton di Amerika Syarikat selama hampir tiga tahun berturut-turut, menurut data Nielsen. Sementara itu, ciri video pendeknya, Shorts, kini mencatat purata 200 bilion tontonan setiap hari. – AFP.

Berkaitan

  • OpenAI Perkenal Sora - Aplikasi Video AI Mirip TikTok
  • OpenAI Perkenal Aplikasi Sora Untuk Android
  • Nak Rumah Selamat, Privasi Terjaga 24/7? Unifi Ada Penyelesaian Pintar
  • Cara Tonton Pelbagai Saluran TV/Radio Tempatan Di Telefon Pintar Dan TV Android Rumah Anda

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Syarikat Minyak UAE, ADNOC Jalin Kerjasama Dengan OpenAI Untuk Guna AI Dalam Operasi
  • Rembayung Kini Guna Grab Untuk Tempahan, Satu 'Booking' Setiap Dua Minggu
  • Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027
  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
  • Google Peruntuk AS$160 Juta Untuk Infrastruktur Air Sokong Pusat Data Di Negeri Sembilan
  • 25,000 Lesen Pas Pembelajaran Global Kohort 2 Dibuka 16 November - Pemohon Senarai Menunggu Diutamakan
  • Claude Code Tak Boleh Lagi Klon Game Orang Lain, Walaupun Ditukar Nama
©2026 WISER.MY