Pengharaman Dego Ride Belum Muktamad

Dego Ride merupakan perkhidmatan menghantar penumpang atau barangan menggunakan motosikal. Dimulakan pada tahun 2015, Dego Ride beroperasi di lembah klang dan kawasan-kawasan sekitar.

Perkhidmatan ini mirip dengan 'Ojek' di Indonesia dan 'Motorsai Rap Chang' yang beroperasi di Thailand. Dengan kadar cas serendah RM2.50 untuk 3Km pertama dan 60sen untuk setiap kilometer yang berikutnya, servis ini mendapat reaksi yang menggalakkan dari pengguna.

Minggu lepas menyaksikan pengharaman servis tersebut yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Pengharaman itu dibuat adalah berdasarkan faktor keselamatan penumpang dan yang terkini, Berita Harian Online melaporkan bahawa pengharaman itu masih belum muktamad. Menurut Datuk Seri Nancy Syukri, kerajaan masih belum memberi kata putus sama ada perkhidmatan teksi motosikal itu diharamkan sama sekali atau di kaji semula pelaksanaanya.

Datuk Seri Nancy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu bahawa Dego Ride mampu mempelbagaikan perkidmatan menghantar penumpang dalam negara. Selain itu, ia juga dapat membantu meningkatkan pendapatan penunggang yang menjalankan perkhidmatan Dego Ride.

Apa-apa pun kita masih menunggu keputusan rasmi dari kabinet dan diharapkan servis Dego Ride dapat dikaji semula kerana ia sangat membantu masalah kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi di kawasan lembah klang.

Sumber: Berita Harian Online

Sumber Gambar: Free Malaysia Today