Laporan terbaru oleh Institute for Public Policy Research (IPPR) mendedahkan kesan besar AI generatif terhadap masyarakat, baik secara profesional mahupun peribadi.
IPPR menegaskan perlunya campur tangan kerajaan untuk mengarahkan penggunaan AI ke arah manfaat sosial.
Carsten Jung, ketua AI di IPPR, berkata, kemajuan AI berkembang dengan pesat, dan pelancaran agen AI menunjukkan AI bukan sekadar alat, tetapi aktor yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan masyarakat.
AI akan mengubah sektor pekerjaan di mana ia akan menghapuskan pekerjaan lama dengan mencipta yang baharu, serta mendorong inovasi dalam produk dan perkhidmatan.
Laporan itu memberi amaran bahawa hanya mempercepatkan penggunaan AI tanpa hala tuju jelas boleh membawa kesan tidak diingini.
Ekoran itu, laporan tersebut menegaskan bahawa AI harus digunakan untuk menyelesaikan cabaran besar seperti penjagaan kesihatan.
Antara penemuan utama dalam laporan itu adalah:
- AI mengubah tempat kerja, terutamanya dalam sektor ekonomi berasaskan pengetahuan seperti pengurusan projek, pemasaran, dan pentadbiran.
- Analisis IPPR terhadap 22,000 tugas kerja mendapati sehingga 70% tugas boleh diubah atau digantikan oleh AI.
- AI memberi kesan besar kepada tugas organisasi, strategik, dan analitik, mencetuskan persoalan tentang masa depan pekerjaan.
- 930,000 rakyat UK telah menggunakan AI sebagai teman digital di aplikasi seperti Character.AI dan Replika, termasuk dalam hubungan romantik. Walaupun memberi sokongan emosi, risiko ketagihan dan kesan psikologi jangka panjang masih tidak diketahui, terutama bagi golongan muda.
IPPR dalam laporannya mengkritik dasar AI semasa yang hanya menumpukan kepada keselamatan dan perkembangan teknologi tetapi mengabaikan arah dan matlamat yang jelas.
Mereka mencadangkan pendekatan “politik AI baharu”, di mana kerajaan, perniagaan, dan masyarakat bekerjasama menentukan sasaran AI untuk kepentingan umum.
Cadangan IPPR itu adalah seperti berikut:
- Menetapkan dasar jelas, termasuk cukai dan peraturan AI.
- Membangunkan sasaran terukur dengan mekanisme pembiayaan dan garis masa.
- Bekerjasama dengan sektor swasta dan masyarakat untuk mengawal pembangunan AI.
- Mewujudkan pemantauan ketat bagi memastikan AI sejajar dengan kepentingan awam.
Carsten Jung menyatakan, kerana potensi AI yang besar, AI perlu diarahkan untuk menyelesaikan masalah sosial utama.
“Orang ramai harus terlibat dalam menentukan hala tuju AI, kerana potensinya dalam menyelesaikan cabaran global sangat besar.” Carsten Jung.
Walaupun kajian itu dibuat di UK, tapi AI yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia memberikan gambaran kesannya pada sektor pekerjaan di peringkat global.
Sidang Kemuncak Paris AI Action Summit yang akan datang dilihat sebagai peluang bagi pembuat dasar untuk mengalihkan fokus kepada penggunaan AI berasaskan misi, seperti peningkatan penjagaan kesihatan, perubahan iklim, dan pendidikan.
{suggest}
Sumber: IPPR