Apabila sesuatu sistem operasi sudah terlalu lama di pasaran, pembangunnya kebiasaannya akan melancarkan versi baharu kepada penggunanya sebagai naik taraf kepada versi terdahulu yang sudah lapuk.
Namun, ini tidak berlaku pada sebahagian besar pengguna Windows.
Microsoft yang merupakan gergasi sistem operasi PC dengan penguasaan lebih 70% pasaran, berdepan dengan isu pengguna Windows yang enggan beralih kepada versi terkini.
Statistik mengejutkan
Apa yang ditunjukkan adalah jelas, pengguna Windows cenderung kekal setia dengan versi terdahulu lebih lama berbanding pengguna macOS.
Berdasarkan statistik terkini, lebih 40% pengguna Windows masih menggunakan Windows 10 yang sudah berusia 10 tahun.
Malah ada yang masih setia dengan Windows 7 walaupun ia sudah lebih 15 tahun usianya. Menjadikannya OS yang sudah tidak releven dan tentunya tidak selamat digunakan lagi.
Tetapi, Windows 11 yang dilancar pada Oktober 2021 lalu, hanya berjaya mencapai sekitar 53% pengguna sahaja.
Kesetiaan yang berpunca dari keselesaan
Antara sebab utama pengguna Windows enggan menaik taraf OS PC mereka adalah kerana rasa selesa dan kebiasaan dengan antara muka serta fungsi sedia ada.
Terutamanya dalam kalangan perniagaan dan organisasi yang memilih untuk kekal kerana versi lama stabil dan serasi dengan perisian penting yang mereka sedia gunakan.
Selain itu, bagi mereka, menukar versi Windows bermakna menghabiskan masa untuk mempelajari ciri dan buat tetapan baru.
Dalam sesetengah kes, mereka mahu elakkan isu keserasian dengan perkakasan atau aplikasi penting yang akan menyusahkan mereka.
Isu kos dan keperluan perkakasan
Windows digunakan pada pelbagai jenis PC dengan spesifikasi berbeza. Versi Windows baharu yang memerlukan perkakasan lebih tinggi memaksa pengguna menaik taraf komputer, yang pastinya melibatkan kos besar.
Contohnya, Windows 11 ketika diperkenalkan mensyaratkan ciri keselamatan TPM dan akaun Microsoft, sesuatu yang tidak diperlukan pada Windows versi terdahulu.
Sebab itulah, ramai yang memilih untuk mengelak isu kos ini dengan kekal pada sistem yang sudah memadai untuk keperluan harian mereka.

Berbeza dengan pengguna Apple
Ini sangat jauh berbeza dengan Apple di mana pengguna macOS cenderung untuk menaik taraf sistem komputer Macintosh mereka lebih awal.
Mengambil contoh macOS 13 Ventura yang baru dilancarkan pada Oktober 2022, sudah pun mencapai sekitar 74% pengguna pada tahun 2025 ini.
Malah 2025 menyaksikan lebih 80% pengguna Macintosh menaik taraf kepada macOS 14 Sonoma selepas ia dilancarkan pada 2023.
Pengguna Mac dilihat tidak keberatan pun untuk menaik taraf macOS mereka kepada versi baharu. Ini kerana, ekosistem tertutup Apple yang memudahkan proses ini.
Atau, mungkin sebenarnya pengguna Macintosh menurut sahaja ketetapan Apple yang menetapkan bahawa komputer Macintosh dengan macOS mereka secara automatik menjadi lapuk selepas 5 dan 7 tahun ia dipasarkan.
Jadi, mahu tak mahu, pengguna Mac tidak akan melawan sebaliknya akan memaksa diri mereka memiliki model Macintosh baharu yang menyokong macOS terbaru bagi terus kekal releven.

Apa yang dapat disimpulkan…
Isu yang didepani Microsoft ini membuktikan bahawa kesetiaan dan “sayangnya” pengguna Windows terhadap versi Windows terdahulu adalah kerana isu kestabilan, kos, dan selesanya mereka dengan versi Windows yang lama.
Microsoft sendiri yang sering memberikan masalah pada Windows baharu menerusi kemas kini yang ditawarkan turut dijadikan alasan pengguna untuk tidak menaik taraf.
Jadi, selagi versi lama Windows masih memenuhi keperluan harian mereka, ramai pengguna Windows sanggup menggunakannya bertahun-tahun, walaupun ada pilihan versi baharu yang lebih canggih.
Pengguna macOS pula, mereka akan menurut sahaja apa yang Apple tetapkan. Selepas 7 tahun, tukar sahaja yang baru.
Mereka lebih cenderung mengikut kitaran yang ditetapkan Apple, memastikan mereka sentiasa berada pada versi OS terkini dengan perkakasan terkini.
{suggest}