Dengan pelancaran model iPhone terbaru iaitu iPhone 16e yang telah dilancarkan tahun ini, maka berakhirlah siri iPhone SE dari barisan produk Apple.
iPhone SE ditamatkan selepas 9 tahun dilancarkan di mana dalam tempoh itu Apple telah melancarkan sebanyak 3 model iPhone SE bermula dari tahun 2016 (iPhone SE Gen-1), 2020 (iPhone SE Gen-2) dan yang terakhir adalah pada tahun 2022 dulu (iPhone SE Gen-3).
Penamatan iPhone SE juga bermakna tiga legasi ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada identiti iPhone iaitu port Lightning, butang Home, dan model iPhone bersaiz kecil, lenyap daripada barisan produk terkini Apple.
Selamat Tinggal Lightning: Era USB-C Bermula
Sejak diperkenalkan pada tahun 2012 bersama iPhone 5, port Lightning menjadi standard utama bagi peranti Apple yang menggantikan port 30-pin Apple Dock.
Hampir sedekad Lightning mendapat tempat di kalangan pengguna iPhone. Namun, Apple akhirnya “terpaksa” beralih ke USB-C bermula dengan iPhone 15, selari dengan peraturan Kesatuan Eropah yang menetapkan bahawa semua telefon pintar mestilah menggunakan USB-C sebagai penyambung universal jika mahu telefon mereka dijual di pasaran Eropah.
Penggunaan USB-C membawa banyak kelebihan, termasuk kadar pemindahan data yang lebih pantas, sokongan untuk ekosistem aksesori yang lebih luas, serta kemudahan bagi pengguna yang sudah menggunakan peranti dengan port yang sama seperti MacBook dan iPad.
Butang Home: Dari Ikonik ke Nostalgia
Bagi pengguna awal iPhone, butang Home adalah butang ikonik di mana ia pertama kali diperkenalkan pada iPhone generasi pertama pada tahun 2007 yang menjadi pusat kawalan utama bagi pengguna iOS.
Butang Home membolehkan pengguna kembali ke antaramuka iPhone, membuka iPhone yang dikunci atau membuat pembelian menggunakan ciri Touch ID yang terbina bersama butang Home serta tekan dua kali butang Home untuk memaparkan App Switcher.

Namun, selepas pengenalan Face ID dengan iPhone X pada tahun 2017, Apple secara beransur-ansur menghapuskan butang fizikal ini.
Kini, semua model iPhone terbaru hadir dengan navigasi berasaskan gestur, menjadikan pengalaman penggunaan lebih lancar dan moden yang memanfaatkan sepenuhnya skrin sentuh iPhone.
iPhone Kecil: Permintaan Semakin Menurun
Model pertama iPhone SE hadir dengan saiz paparan 4 inci. Kemudian Apple menaikkan sedikit siaz tersebut kepada 4.7 inci untuk iPhone SE Gen 2 dan Gen 3.
Malah Apple juga pernah melancarkan model iPhone kecil lain iaitu iPhone 12 mini dan iPhone 13 mini dengan skrin bersaiz 5.4 inci untuk memenuhi permintaan pengguna yang inginkan telefon berkuasa dalam saiz kompak. Namun, sambutan terhadap model “mini” ini kurang memberangsangkan, dengan kebanyakan pengguna lebih memilih peranti dengan skrin yang lebih besar.

Akibatnya, Apple menghentikan barisan “mini” dan menggantikannya dengan model “Plus” yang menawarkan skrin lebih besar tetapi dengan spesifikasi yang sama seperti model asas.
Jadi dengan pengenalan iPhone 16e yang hadir dengan skrin bersaiz 6.1 inci, Apple secara rasminya menandakan bahawa mereka tidak lagi akan mengeluarkan model iPhone bersaiz kecil.
Kesimpulan
Mungkin ramai pengkritik terutamanya “haters” iPhone melihat perubahan yang dilakukan Apple ini dengan menggelarkannya sebagai “inovasi” (bernada menyindir).
Tetapi harus diakui bahawa Apple terus memperkenalkan teknologi baharu yang lebih baik yang membuka lembaran baharu dalam sejarah iPhone dengan memastikan inovasi dan trend pengguna sentiasa diutamakan, sekaligus menandakan masa depan yang lebih inovatif untuk ekosistem pengguna iPhone.
Dengan berakhirnya era Lightning, butang Home dan iPhone bersaiz kecil, perubahan ini pastinya mengundang nostalgia (terutamanya dengan isu kabel Lightning yang mudah rosak).
{suggest}