Sejak telefon pintar dimuatkan dengan bateri berkapasiti besar, keperluan untuk mengecasnya dengan kadar lebih pantas amat diperlukan. Tahun demi tahun, pengeluar peranti mengemaskini teknologi pengecasan pantas mereka dan yang terbaru, Vivo yang dikatakan bakal hadir dengan Super FlashCharge 120W.
Satu video telah dimuat oleh Pengarah Produk Vivo pada laman Weibo, memperlihatkan keupayaan teknologi pengecasan terbabit. Difahamkan, Super FlashCharge 120W itu diuji pada bateri 4000mAh dan mengambil masa sekitar 5 minit untuk berada pada tahap 50% sementara bagi pengecasan penuh kuasa iaitu 100%, hanya 13 minit sahaja yang diperlukan.
Tiada maklumat terperinci dikongsikan oleh syarikat pengeluar tersebut dan dijangkakan, teknologi pengecasan pantas terbaru Vivo ini akan dipertontonkan kepada umum pada acara MWC2019 Shanghai yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.
Vivo sedia memperkenalkan pengecasan pantas 44W melalui model iQOO, hanya mengambil masa sekitar 45 minit untuk dicas penuh. Pengeluar lain seperti OnePlus sudah mempunyai Warp Charge 30W, Huawei SuperCharge 40W dan 55W dikatakan untuk Mate X sahaja, OPPO SuperVooc 50W dan Xiaomi Super Charge Turbo 100W.
Pengecasan pantas bersama kuasa isian besar SuperFlashCharge 120W memang enak didengar, tetapi seperti Xiaomi, ia mungkin masih memerlukan masa yang lebih lama lagi untuk mengkomersialkannya.