Pendapat Kami Tentang Huawei Nova 2i – Telefon Seakan Flagship Tapi Bukan

Huawei Nova 2i dibina dengan rekaan luaran premium untuk memberikan keselesaan pegangan tangan untuk pengguna. Ianya memiliki paparan skrin bersaiz 5.9 inci dengan nisbah skrin 18:9 yang sangat besar untuk kepuasan ketika menonton video dan penggunaan harian. Ianya juga merupakan peranti pertama dari Huawei yang mengetengahkan rekaan FullView dengan paparan HD penuh.



Rekaan lengkung di setiap bucu memperlihatkan rekaan seperti iPhone dan dibahagian belakang memperlihatkan tetapan dwi-kamera dan pengimbas cap cari yang juga mirip seperti Huawei Mate 9. Tetapi ianya bukanlah satu perkara yang memalukan kerana pada pendapat kami, jika ianya sedap mata memandang, sedap untuk dipegang, apa salahnya kan?.



Peranti ini dimuatkan dengan cip pemprosesan dari Huawei sendiri, Kirin 659 bersama lapan teras pada kadar kelajuan 2.36 GHz didokong pula dengan saiz RAM bersaiz 4GB. Ianya sudah cukup untuk memastikan penggunaan harian dan gaming keras tanpa pengguna menghadapi sebarang masalah.

Namun ada juga beberapa kali kami berhadapan dengan ralat yang menyebabkan skrin berkelip-kelip ketika membuka aplikasi Youtube. Tetapi selepas beberapa saat, telefon kembali normal dan sehingga kini tidak menunjukkan masalah yang sama. Kami beranggapan ralat tersebut adalah daripada aplikasi itu sendiri.

Satu lagi masalah yang kami hadapi adalah apabila menaip. Kami tidak pasti kenapa selalu typo ketika menaip. Adakah penulis berjari gemuk? Mungkin juga. Tapi kami beranggapan skrinnya tidak begitu responsif.



Ianya dijalankan dengan system operasi Android Nougat ditambah dengan antara muka dari Huawei iaitu EMUI 5.1. Pada pendapat kami, peranti ini sangat lancar untuk penggunaan harian seperti melayari internet dan media sosial tanpa sebarang gangguan. Tetapi sambungan GPS, 4G dan LTE kami perasan agak perlahan.



Dimuatkan dengan kapasiti bateri 3,340 mAh, peranti ini berkeupayaan untuk penggunaan seharian dengan satu kali cas. Namun, Huawei tidak menyertakan ciri pengecasan pantas untuk peranti ini. Ianya juga masih lagi menggunakan mikro-B.

Yang menjadi perhatian tentang Nova 2i ini adalah tetapan dwi-kamera di hadapan dan di belakangnya. Tidak banyak lagi peranti ketika ini yang menawarkan tetapan 4 kamera di pasaran. Ianya menggunapakai lensa 16MP bersama lensa 2MP untuk kamera utama manakala 13MP dan 2MP di bahagian hadapan.



Jika dilihat pada hasil gambar yang diambil dengan peranti ini ketika waktu siang, kita dapat lihat peranti ini mampu mengambil gambar yang boleh diterima. Walaupun warna gambar sedikit lembut, namun dari segi ketajaman, tidak ada komplen dari kami.

















Malah pengguna turut mampu melaraskan efek ‘bokeh’ selepas gambar diambil. Tetapi pada pendapat kami, gambar ‘bokeh’ yang dihasilkan tidak begitu tajam di bahagian sisi objek. Kelihatan kabur dibahagian tepi badan objek mempelihatkan kelemahan ciri ‘bokeh’ yang diketengahkan.



Pada waktu malam juga gambar yang dihasilkan kurang sempurna. Gambar tidak begitu tajam dan dapat dilihat noise di latar belakang. Secara jujurnya, kami agak kecewa dengan prestasi kameranya di waktu malam.





Namun harus diingatkan, Nova 2 i dipasarkan sebagai telefon pertengahan, jadi tidak adil untuk membandingkannya dengan keupayaan kamera pada peranti flagship yang lain seperti P10 Plus dan Mate 10 yang menggunakan sensor Leica.

Peranti ini didagangkan ke pasaran pada harga RM 1299 dengan tiga variasi warna iaitu Aurora Blue, Graphite Black, dan Prestige Gold.

Prestasi Nova 2i adalah sesuatu yang harus dipuji. Anda tidak akan diselubungi dengan ‘lag’ yang menjengkelkan. Pengimbas cap jarinya juga adalah sangat pantas. Ketahanan bateri selama seharian.

Berbaloi atau tidak untuk memiliki Huawei Nova 2i? Pada kami, ya. Jika anda mencari telefon yang mempunyai ciri seperti fon flagship pada takuk harga bawah RM 1300, Nova 2i adalah jawapannya.

Namun harus kami ingatkan kepada anda, telefon ini hanya memiliki ciri seperti flagship, tidak bermakna cirinya sama taraf dengan flagship.