Kelip-kelip, atau turut dikenali sebagai kunang-kunang, ialah sejenis serangga yang terkenal dengan keupayaannya mengeluarkan cahaya semula jadi
Cahaya ini dihasilkan melalui satu proses yang dipanggil bioluminesens, iaitu tindak balas kimia di bahagian abdomen serangga tersebut.
Kelip-kelip biasanya dapat dilihat pada waktu malam, terutamanya di kawasan yang gelap, lembap dan berhampiran sungai atau hutan.
Mereka menggunakan cahaya untuk menarik pasangan semasa musim mengawan. Setiap spesies mempunyai corak kelipan tersendiri yang berfungsi sebagai “bahasa isyarat” bagi membezakan antara satu sama lain.
Di Malaysia, salah satu lokasi terkenal untuk melihat kelip-kelip ialah di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, di mana pengunjung boleh menaiki bot menyusuri sungai untuk menyaksikan ribuan kelip-kelip menghiasi pokok-pokok bakau seperti lampu Krismas semula jadi.

Namun begitu, habitat kelip-kelip kini semakin terancam akibat yang bukan sahaja berpunca daripada pencemaran alam sekitar dan pembangunan, tetapi juga kesan daripada pencahayaan buatan.
Beberapa kajian yang diterbitkan sebelum ini menunjukkan pencemaran cahaya buatan (artificial light at night, ALAN) yang berpunca daripada aktiviti manusia telah memberi kesan besar terhadap haiwan malam, termasuklah kelip-kelip.
Cahaya ini boleh mengganggu tingkah laku seperti pergerakan, mencari makanan, dan mengawan.
Kajian menunjukkan bahawa cahaya buatan boleh menghalang proses mengawan kelip-kelip, terutamanya spesies seperti Photinus obscurellus yang langsung gagal apabila terdedah kepada cahaya terang.
Kelip-kelip bergantung pada cahaya semula jadi (bioluminesens) untuk menarik pasangan.
Cahaya buatan boleh menyebabkan kelip-kelip betina tidak lagi memberi tindak balas terhadap isyarat dari jantan, lalu mengganggu proses pembiakan.
Namun, belum jelas sama ada populasi akan pupus atau hanya berpindah ke kawasan yang lebih gelap.
Kajian itu dijalankan kerana semakin ramai pakar pemuliharaan sedar bahawa pergerakan haiwan, terutamanya kelip-kelip betina, penting untuk merancang langkah perlindungan yang berkesan.
Walaupun jantan banyak dan bergerak aktif, kelangsungan populasi bergantung kepada keupayaan betina menarik pasangan dan bergerak ke lokasi sesuai.
Walaupun terdapat beberapa spesies kelip-kelip tidak terlalu terjejas oleh pencemaran cahaya buatan, namun spesis seperti P. obscurellus menunjukkan penurunan aktiviti mengawan yang ketara apabila terdedah kepada cahaya, yang boleh membawa kepada penurunan populasi jika betina tidak dapat berpindah ke kawasan gelap.
Jika kawasan gelap semakin berkurangan akibat pembangunan dan pencahayaan berlebihan, pergerakan kelip-kelip betina ke tempat selamat akan terganggu.
Kajian itu menekankan bahawa pengurusan pemuliharaan dan pendidikan awam amat penting untuk mengurangkan kesan pencemaran cahaya, terutama di kawasan perlindungan dan habitat biodiversiti tinggi, demi memastikan kelangsungan kelip-kelip dan hidupan malam lain yang bergantung pada kegelapan semula jadi seterusnya mengekalkan kesihatan ekosistem yang penting untuk keseimbangan alam sekitar.
{suggest}
Sumber: ScienceDirect, Royal Society Open Science