Dilancarkan pada tahun 2016, Pokémon GO menjadi fenomena global hampir serta-merta dan sering dianggap sebagai permainan augmented reality (AR) atau realiti terimbuh pertama yang benar-benar berjaya secara besar-besaran. Ia menggabungkan dunia sebenar dengan elemen digital, membolehkan pemain menangkap Pokémon di lokasi sebenar menggunakan kamera telefon.
Pada kemuncaknya, jutaan pemain di seluruh dunia keluar berjalan, meneroka taman, bandar dan pelbagai lokasi semata-mata untuk mencari Pokémon.
Malah, saya juga masih ingat pada ketika itu memang ramai orang keluar dan berjalan-jalan untuk menangkap Pokémon, sehinggakan masjid di universiti saya turut penuh pada waktu-waktu luar kebiasaan disebabkan berhampiran situ ada PokéStop.
Namun, di sebalik popularitinya sebagai permainan mudah alih, terdapat satu perkara menarik yang ramai tidak sedar.
Pokémon GO sebenarnya membantu membina sistem AI dunia sebenar.
Dari permainan kepada data dunia sebenar
Konsep permainan ini memerlukan pemain untuk bergerak di dunia sebenar sambil menggunakan kamera dan peta digital. Setiap kali pemain berinteraksi dengan PokéStop atau menggunakan ciri AR, sistem akan mengumpul data visual persekitaran.
Data ini termasuk imej bangunan, jalan, laluan pejalan kaki dan pelbagai elemen lain di sekeliling pemain. Apabila dikumpulkan daripada jutaan pengguna, ia membentuk satu dataset yang sangat besar dan pelbagai.
Menurut laporan, Niantic telah mengumpulkan berpuluh bilion imej dunia sebenar melalui aktiviti pemain selama bertahun-tahun. Dataset ini menjadi asas kepada pembangunan teknologi spatial AI.
Tak pelik juga kerana tahun lalu, Niantic memang mahu fokus kepada AI Geospatial.
Teknologi di sebalik Pokémon GO
Data tersebut digunakan untuk membangunkan sistem yang dikenali sebagai Visual Positioning System atau VPS.
Berbeza dengan GPS yang bergantung kepada satelit, VPS menggunakan kamera untuk mengenal pasti persekitaran fizikal. Sistem ini membolehkan peranti memahami lokasi berdasarkan objek sebenar seperti bangunan, papan tanda dan struktur jalan.
Hasilnya, AI boleh menentukan lokasi dengan ketepatan yang jauh lebih tinggi. Dalam beberapa kes, ketepatan ini boleh mencapai tahap sentimeter, terutamanya di kawasan bandar yang kompleks.
Teknologi ini juga membantu mengatasi masalah GPS yang sering tidak stabil di kawasan dengan bangunan tinggi atau laluan sempit.
Digunakan oleh robot di dunia sebenar

Apa yang lebih menarik, teknologi ini tidak hanya digunakan dalam permainan.
Niantic melalui platform spatial mereka telah bekerjasama dengan Coco Robotics untuk membangunkan robot penghantaran. Robot ini digunakan untuk menghantar makanan dan barangan di kawasan bandar.

Dengan bantuan VPS, robot boleh bergerak di kaki lima, mengenal pasti lokasi dengan lebih tepat dan mengelakkan kesilapan navigasi. Ini sangat penting kerana robot tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada GPS dalam persekitaran sebenar.
Dalam erti kata lain, data yang dikumpulkan daripada pemain Pokémon GO kini membantu robot mencari jalan di dunia sebenar.
Kenapa data ini sangat bernilai

Salah satu kekuatan utama dataset ini ialah cara ia dikumpulkan.
Ia datang daripada:
- jutaan pengguna di seluruh dunia
- pelbagai sudut pandangan
- keadaan cahaya dan cuaca berbeza
Berbanding sistem pemetaan tradisional yang mungkin mengambil imej terhad, Pokémon GO menghasilkan data yang lebih kaya dan dinamik.
Ini membolehkan AI memahami dunia dengan lebih mendalam dan menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi sebenar.
Niantic juga menyifatkan usaha ini sebagai membina peta dunia yang sentiasa hidup dan dikemas kini secara berterusan.
Konsep ‘crowdsourcing’ dalam dunia AI
Fenomena ini sebenarnya sebahagian daripada konsep yang lebih besar iaitu crowdsourcing data.
Contohnya:
- Google Maps menggunakan data trafik daripada pengguna
- Waze bergantung kepada laporan komuniti
- reCAPTCHA membantu melatih AI mengenal imej
Pokémon GO membawa konsep ini ke tahap baharu dengan menggabungkan permainan dan realiti fizikal.
Namun penting untuk difahami bahawa pengumpulan data ini berkait dengan penggunaan ciri tertentu dalam aplikasi serta terma penggunaan yang dipersetujui pengguna.
Kesimpulan
Pendek kata, Pokémon GO bukan sekadar game jalan-jalan cari Pokémon. Tanpa sedar, aktiviti pemain selama ini turut menyumbang kepada pembangunan teknologi yang kini digunakan di dunia sebenar.
Pun begitu, adakah dalam kalangan anda yang masih aktif bermain permainan ini?
{suggest}
