Umum mengetahui bahawa kini sudah ramai yang sudah mula melabur dalam mata wang digital atau cryptocurrency atas faktor ia lebih menguntungkan.
Namun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui The Malaysian Reserve menyatakan bahawa setiap individu yang memperdagangkan aset mereka di Bursa Aset Digital (DAX) diminta untuk mengistiharkan keuntungan mereka kepada LHDN menerusi pernyataan cukai pendapatan tahunan mereka.
Walau bagaimanapun, ia hanya berlaku bagi mereka yang secara aktif memperdagangkan aset digital mereka.
Tambah LHDN, pendapatan yang diperoleh daripada platform digital tetap akan diperlakukan serupa dengan pendapatan yang dihasilkan melalui perniagaan konvensional.
Pendapatan tersebut merangkumi pendapatan yang terkumpul, atau diperoleh, atau diterima di Malaysia dari luar negara untuk dikenakan cukai mengikut Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ini bermakna, individu yang aktif menggunakan cryptocurrency, sistematik dan berulang kali di mana terdapat corak perdagangan, maka individu tersebut telah melakukan transaksi dan seterusnya cukai akan dikenakan.
Setakat ini, terdapat lebih 200,000 akaun yang didaftarkan dengan tiga pengendali DAX yang dilesenkan oleh SC pada tahun 2018 iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize (M) Sdn Bhd.
Malah, Luno Malaysia turut melaporkan bahawa mereka telah memproses lebih RM800 juta transaksi pada tahun lalu sejak pelanggannya meningkat lebih dari 30%.
Selain itu, pembayar cukai dan pelabur mata wang digital termasuk perlombongan wang digital perlu menyimpan rekod transaksi dan dokumen yang relevan selama tujuh tahun untuk tujuan audit.
Sumber: The Malaysian Reserve