Selain fungsi Stage Manager, sistem operasi macOS terbaru – Ventura turut menawarkan satu ciri yang kadangkala tidak terfikir oleh pengguna tetapi mungkin akan digunakan juga nanti.
Fungsi yang dimaksudkan itu ialah continuity camera. Ia membenarkan iPhone dijadikan sebagai kamera web (webcam) pada barisan komputer Mac.
iPhone yang telah ditukarkan fungsinya menjadi webcam itu boleh digunakan dalam aplikasi seperti FaceTime, Microsoft Teams dan banyak aplikasi lain. Tujuannya satu, ingin mempertingkatkan kualiti panggilan video.
Selain itu, continuity camera juga akan menyokong mod potret, center stage dan beberapa mod lain. Aksesori yang dikhususkan untuk meletakkan iPhone pada skrin MacBook juga akan ditawarkan nanti.
Dengan ini, panggilan video anda semasa bermesyuarat atau kelas dalam talian misalnya akan menjadi lebih baik kerana mungkin anda sudah tetapkan resolusi 4K. Dijangka ciri tersebut bakal tersedia buat pengguna tahun ini.