Baru lagi pada acara di Beijing, China, OPPO telah melancarkan versi perisian Android 10 terkini dalam bentuk ColorOS 7. Dengan ColorOS 7 baharu, ia membawakan beberapa fungsi-fungsi baharu dan ditunggu-tunggu dalam pada masa yang sama menawarkan versi Android terkini untuk pengguna peranti mereka.
Untuk ciri baharu dalam ColorOS 7, ia mengubah elemen antaramuka untuk mengurangkan keletihan visual seperti menawarkan pilihan warna yang lebih selesa digunakan dan mengurangkan kepekatan warna. Ikon juga boleh diubahsuai melalui pilihan saiz dan bentuk pilihan pengguna. Selain itu, ia juga membawa ciri mod gelap yang turut menyokong aplikasi ketiga.
Untuk fungsi khas baharu ColorOS 7, ia membawakan fungsi Focus mode, iaitu fungsi yang sama seperti Zen mode pada OxygenOS OnePlus. Untuk fungsi multi-tugasan, terdapat fungsi khas Flashback yang membantu anda menukar ke aplikasi lain dengan satu klik butang.
Kamera juga mendapat sedikit kemaskini perubahan seperti antaramuka yang berbeza, mod potret 2.0, mod malam, super stabilization dan juga perisian mengedit video dinamakan Soloop.
Prestasi peranti juga dipertingkatkan dengan kelajuan pelancaran aplikasi sebanyak 25%. Kelajuan keseluruhan sistem sebanyak 30% dan penggunaan RAM yang lebih efisien sebanyak 40%. Prestasi ketika bermain permainan juga turut diberi perhatian. Tindak balas sentuhan dan fps ketika bermain meningkat sebanyak 15% dan 19%.
Mengenai ColorOS 7, OPPO dijangka akan melancarkan versi global kemaskini tersebut pada 26 November pada pelancarannya di India nanti. Buat masa ini, ia hanya tersedia untuk peranti di China dengan pelepasan kemaskini tersedia bermula dengan siri OPPO Reno terlebih dahulu.
Untuk peranti Realme, ia akan mendapat kemaskini ColorOS 7 dengan sedikit perubahan berdasarkan ura-ura sebelum ini.
Sumber: xda-developers, GizmoChina