OnePlus Watch Turut Diumumkan Dengan Harga Yang Mampu Milik

OnePlus baru sahaja selesai melancarkan barisan telefon siri OnePlus 9 sebentar tadi. Selain telefon pintar, mereka juga memperkenalkan jam pintar pertama menerusi OnePlus Watch.

Setelah sekian lama peranti ini dibicarakan, ia kini sudah rasmi. Seperti laporan terdahulu, mungkin jam pintar ini bakal menjadi pilihan pengguna.



Ini disebabkan rekaannya tampil berbentuk bulat seperti jam tangan biasa atau yang terdapat pada Galaxy Watch.

Kerangkanya diperbuat daripada logam tahan karat berukuran 46mm dan hadir dengan dua butang pada bahagian sisi. Skrinnya pula dilengkapi panel OLED 1.39 inci serta menggunakan kaca sapphire. Turut ditawarkan dengan dua pilihan warna, iaitu Moonlight Silver dan Midnight Black.

OnePlus Watch juga hadir dengan ciri pengecasan pantas Warp Charge System dimana mereka mendakwa ia mampu bertahan sehingga seminggu dengan hanya 20 minit pengecasan.

Malah, OnePlus menjanjikan lagi bahawa jam pintar ini dapat bertahan sehingga 2 minggu dengan hanya sekali cas atau satu minggu bagi penggunaan yang lasak.



Spesifikasinya agak menarik, ia terbina dengan 4GB RAM, storan dalaman 4GB, pembesar suara, WiFi, Bluetooth dan GPS. Namun, tiada sokongan selular. Bermakna, pengguna perlu sentiasa membawa telefon untuk sambungan pada jam.

Tidak lengkap jika tiada fungsi kecergasan, jam pintar ini menawarkan lebih daripada 110 mod senaman dan mempunyai penarafan IP68 kalis air dan debu.

Selain itu, terdapat juga penjejakan waktu tidur, tekanan, kepekatan oksigen dalam darah dan kadar degupan jantung.



Walau bagaimanapun, OnePlus Watch tidak menggunakan WearOS. Bermakna, segala aplikasi dan muka jam juga adalah terhad dan tiada aplikasi pihak ketiga buat masa sekarang.

Akhir sekali, antara fungsi yang menarik adalah ia boleh dipadankan dengan OnePlus TV. Ini memberikan pengguna mengawal TV menggunakan jam serta TV itu juga mampu ditutup secara automatik sekiranya ia mengesan pengguna sudah terlelap.



Harga yang diletakkan adalah US$159 (~RM655) untuk versi classic ini. Sementara terdapat juga edisi khas, Cobalt Limited Edition yang harganya akan diumumkan kelak.

Kapsyen: Spesifikasi OnePlus Watch


Seperti biasa, kita perlu menunggu ketibaannya di Malaysia bagi mengetahui harga buat pasaran tempatan.