OnePlus 9 - Kamera Hasselblad Tanpa OIS

Pertengahan Mei yang lepas OnePlus Malaysia secara rasmi membawa masuk dua beradik, OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro untuk pasaran tempatan.

https://www.youtube.com/watch?v=l1tXHMnKaZs&ab_channel=WiserMyWiserMy

Bagi yang belum tahu mengenai harga, kedua-duanya boleh dibeli pada harga RM3699 dan RM4299. Ya, kurang mesra poket bagi sesetengah peminat diluar sana.



Mengenangkan harga yang agak keras ini, pastinya kita mahu dengar spesifikasi yang sedap-sedap. Tetapi kita semua sudah maklum, OnePlus 9 tidak pula didatangkan dengan ciri OIS. Ini mungkin mengendurkan nafsu peminat kamera.

Rekaan


Sebelum bercerita lebih lanjut, kita mulakan dahulu dengan bahagian luaran. Tiada rekaan radikal untuk peranti kali ini. Kita boleh cakap OnePlus mengambil pendekatan play safe dalam penawaran terbaru mereka. Sekali hidu, macam ada bau-bau rekaan OPPO Reno5.



Kalau kita mahu bandingkan, OnePlus 9 hanya dipasang dengan skrin beresolusi 1080p (120Hz kadar segar semula) sementara versi Pro pula dengan Quad HD.

Tiada rungutan untuk bahagian ini kerana paparannya bagus, warna pun cantik dan kecerahan mencecah 1100nits. Boleh kata sama sahaja dengan apa yang biasa OnePlus tawarkan dahulu. Rasanya cukup sampai disini sahaja untuk luaran OnePlus 9.



Kita pergi bahagian yang lebih menarik iaitu kamera. Kalau diimbas kembali kepada penawaran terdahulu, OnePlus bukanlah jenama yang ada reputasi kamera yang bagus. Malah acap kali kita dengar prestasi kamera mereka sekadar average atau cukup makan.

Sehinggalah ke tahun lalu, apabila OnePlus 8 Pro dilancarkan, kita dah nampak sinar harapan dari jenama ini dimana mereka mula beri persaingan sihat dengan nama-nama lain.

No OIS, No Party?


OnePlus 9 dipersenjatakan dengan sensor utama sama seperti OnePlus 8 Pro, 48MP IMX 689. Bezanya kali ini tidak dilengkapi dengan OIS.



Pada mulanya kami berpendapat, No OIS No Party, kamera mesti jadi biasa-biasa sahaja. Tetapi itu apabila sekadar membaca daripada senarai spesifikasi. Namun, alasan ini tidak terpakai sekiranya belum mencuba sendiri.

Berkenaan OIS, kebanyakan kamera telefon pada waktu siang tidak bermasalah sekiranya tiada OIS disebabkan shutter speed yang laju. Tiada masalah signifikanlah sebab tidak bergegar.

Apa yang kami perasan pada OnePlus 9, walaupun tiada OIS rakaman tidaklah seteruk seperti yang disangka segelintir orang. Nak cakap cantik tak juga dan kalau nak cakap gambar auto teruk, pun tak juga.

Hasil rakaman masih boleh 'dihadam'. Tetapi untuk mengatasi kekurangan ciri OIS ini, pengguna perlu ada 'usaha' yang lebih sedikit sewaktu merakam. Tolak tepi dahulu berkenaan harga, kita akan simpulkan dibawah.

Kamera OnePlus 9 berjaya menghasilkan rakaman malam yang just nice. Ciri NightScape berfungsi dengan baik dan pujian boleh diberikan pada prestasi yang ditonjolkan. Ini satu prestasi yang bukanlah terbaik tetapi masih boleh diterima bagi sebuah kamera tanpa OIS. Syaratnya jangan terlalu bergegar, kalau bergegar sangat memang kaburlah hasil gambar.

Kerjasama dengan Hasselblad


Jika menyentuh tentang isu 'kontroversi' Hasselblad, tugas dia selain letak logo dan jadi alat pemasaran, nampaknya Hasselblad mungkin membantu dari segi kalibrasi warna dan elemen antaramuka dalam OnePlus 9 ini.



Sejak OnePlus 8 Pro, kita dah mula nampak OnePlus suka main ke arah pemprosesan piksel. Ada kontras dengan stail gelap. Kami lebih cenderung kepada gaya gambar seperti ini berbanding Samsung atau Huawei yang terarah kepada gambar sedikit cerah.



HDR bagi kami memuaskan, tapi kami rasa boleh dipertingkatkan lagi. Saturasi warna boleh cakap cukup makan, sedap mata memandang. Tidak lebih, tidak kurang.



Ada beberapa gambar yang diambil, sistem kamera ini mampu memisahkan antara white balance oren dan putih dalam dua punca pencahayaan yang berbeza. Terasa wow bila tengok hasil gambar.

Walaupun warna oren dari cahaya lampu jalan yang berderet itu tidak tepat seperti warna sebenar, agak kemerah-merahan sedikit, tetapi kami sudah berpuas hati dengan apa yang OnePlus 9 ini hasilkan.



Ya, satu lagi berkenaan dengan tona warna. Kami suka, pendekatan kolaborasi bersama Hasselblad kerana lebih terarah sebagai alat kalibrasi warna. Boleh disimpulkan bahawa OnePlus 9 mempunyai 'tema' yang konsisten, membuatkan pengguna seronok untuk gunakan kameranya.

Mungkin tona warna tidak sama sangat, HDR tak beri harapan yang terlalu tinggi, white balance ala kadar. Tetapi yang menarik, setiap rakaman gambar yang diambil memberikan konsistensi antara warna, HDR dan white balance.



Kamera ultra lebar juga tidak mendatangkan kerisauan kerana ia menggunakan sensor sama seperti versi Pro. Lensa 50MP, perincian yang cukup baik dan sejenis lensa free form, bermaksud kurang distortion, gambar lebih cantik. Senang cerita tak nampak bengkak-bengkok dihujung gambar.



Satu lagi lensa, 2MP monokrom. Tak tau la nak sentuh ke tidak. Kualiti dia ok tapi rasa tak perlu ada pun tak mengapa. Jadi kita teruskan kepada bahagian lain.

Video. Ketiadaan OIS sememangnya bagi tamparan hebat bagi sesetengah peminat. Anda boleh lihat sendiri pada video kami dibawah ini(minit 4:34 - 4:54).

https://youtu.be/l1tXHMnKaZs?t=274

Bila tengok balik, mungkin rata-rata daripada kita akan terus cakap kamera OnePlus 9 tidak cantik. Agak janggal juga sebuah telefon pintar andalan dengan harga 'handal' tidak disertakan dengan OIS. Lebih-lebih lagi jika kita bawa memori kepada model terdahulu seperti OnePlus 8T dan 7T. Semua ada OIS.

Isu disini adalah OIS bukan faktor utama untuk gambar cantik. Tetapi gambar cantik adalah sumbangan daripada sensor utama yang agak besar. Malah lebih besar berbanding Samsung Galaxy S21 yang lengkap dengan OIS.



Senang cerita OIS bukan 100% penentu gambar cantik tetapi hanya pembantu gambar cantik.

Getaran motor


Satu lagi benda yang jarang kita sebut adalah getaran pada peranti ini. Boleh cakap OnePlus 9 bagi gegaran yang kami kelaskan sebagai sedap.



Dengan adanya gegaran sedap ini, ia tambah lagi nilai dalam pengalaman penggunaan sesebuah peranti. Jika dibandingkan dengan ROG Phone 5, gegaran pada telefon ini tidak terasa kosong dan boleh cakap agak tepat.

Ia diintegrasikan pada beberapa bahagian seperti sewaktu melaras audio serta kecerahan paparan. Payah juga nak jelaskan dalam bentuk tulisan kerana anda perlu rasainya sendiri.

Pembesar suara stereo


Awalnya kami tak letakkan harapan tinggi pada pembesar suara OnePlus 9 sebab kita kenal jenama ini bukan sasarkan kepada hiburan pengguna.

Namun setelah mencuba, kami akui pembesar suara stereo yang dilengkapkan pada OnePlus 9 ini antara pembesar suara yang umphhh.



Tetapkan pada tahap tinggi pun audio masih jelas dan tanda-tanda bunyi pecah. Tinggi dekat sini bermaksud paling kuat. Walaupun begitu, ia masih set pembesar suara biasa. Bukan seperti peranti gaming yang punyai audio yang lebih luas. Tetapi ia cukup kuat, cukup sedap dan cukup puas hati untuk didengar.

OxygenOS


Bagi yang belum tahu, OnePlus di Malaysia gunakan sistem operasi OxygenOS. Bagi yang dah tahu pula, OxygenOS tidak lagi bagi pengalaman macam sistem operasi pure, vanila Android seperti sebelum ini.



Mungkin ada yang kecewa kerana sesetengah suka sistem antaramuka yang lebih terarah kepada stock Android. Tetapi sebahagian lagi mungkin akan suka dengan pendekatan yang dilakukan keatas OxygenOS.

Ringkas, minimal dan antaramuka yang segar. Ini antara muka yang kami tidak 'sesat' bila mana mahu membuka setiap Setting. Pengeluar tidak banyak sangat bermain dengan core framework perletakan Setting yang kita dah biasa guna pada peranti OnePlus terdahulu.



Sebaliknya, mereka bermain dengan visualisasi, warna dan kelancaran. Terasa ringan dan seronok untuk digunakan.

Ada isu panas atau tidak?


Penggunaan berat akan rasa suam sedikit, terutamanya apabila banyak aplikasi dibuka secara latar, permainan aplikasi berat, gunakan LTE semasa panas terik. Ya, panas sedikit.

Tetapi ini boleh kita cakap benda normal, sebab jarang untuk sesebuah telefon andalan sejuk disebabkan cip berkuasa yang disumbat didalamnya. Lagi power, lagi banyak kerjanya, lagi panas dan penting untuk sistem penyejukan mengendalikan tugas.

Bateri OnePlus 9 boleh dikategorikan sebagai tahan lama. Penggunaan kami boleh cecah sehingga 8 jam screen-on-time. Harus diingat ia mungkin berbeza bergantung kepada gaya penggunaan masing-masing. Secara purata tidak kurang dari 5 jam dan mudah kata boleh tahan 1 hari.



Sistem pengecasan pun antara yang terbaik. Sebab apa kami katakan begini adalah kerana bukan ia laju sahaja. Panas pengecasan itu tidak dibebankan keatas telefon, sebaliknya kepada pengecas itu sendiri. Untuk daya 65W, anda hanya perlu 30 minit untuk penuhkan bateri 4500mAh yang dibekalkan pada peranti.

Boleh juga dicas secara tanpa wayar tetapi menyokong 15W sahaja manakala versi Pro sehingga 50W. Lebih bagus unit jualan di Malaysia berbanding di India kerana tidak langsung menyertakan ciri ini.

Seperkara lagi yang anda perlu tahu adalah bingkainya diperbuat daripada plastik. Dari segi ketahanan mungkin akan lebih mudah calar. Tetapi itu perkara kecil, sarungkan sahaja dengan pelindung yang disertakan didalam kotak pembungkusan.



Sewaktu kami mencuba peranti ini, ada beberapa isu yang kami alami. Contohnya seperti WiFi dan data seperti kurang laju. Seakan bukan guna peranti andalan. Penerimaan isyarat baik tetapi dari kelajuan seperi 'kurang' sedikit. Mungkin akan dibaik pulih pada kemaskini akan datang.



Seterusnya adalah butang kuasa dan pelaras audio yang terletak secara bertentangan. Entah berapa kali kami ter 'screenshot' tanpa sengaja. Ini bukan masalah semua orang, tetapi mungkin lebih seronok kalau semua butang disatu sisi sahaja.

Kesimpulan


OnePlus 9 ini merupakan sebuah telefon pintar yang menarik. Boleh kata ia melepasi jangkaan sebahagian daripada kita. Walaupun pada awalnya ada tanggapan tiada OIS kamera akan barai teruk. Sistem kamera ini juga telah dikemaskini 3-4 kali dan pada masa akan datang kami jangkakan pengeluar akan beri tambah baik lagi.



Lihat pada spesifikasi dan apa yang mampu dihasilkan, kami boleh cakap berpuas hati dengan apa yang OnePlus beri pada telefon pintar ini. Sistem kamera yang boleh diharap, sistem operasi yang mungkin seasyik dahulu tetapi masih ringan dan tiada rungutan dari kami sebagai pengguna untuk tempoh seminggu dua ini.

Tadi kita tolak tepi, sekarang kita ketengahkan semula. Harga jualan, ya agak keras ditambah pula dengan ketiadaan OIS sertai bingkai tepi plastik. Ini bukan sesuatu yang peminat mahukan pada peranti yang dijual pada harga RM3699. Keluhan peminat diluar sana ada asasnya.