OnePlus 6T Mungkin Tidak Terlalu Berbeza Dengan OnePlus 6

Berita terbaru mengenai model OnePlus 6T ini pastinya mengecewakan sebahagian daripada peminat OnePlus dan mereka yang bercadang untuk memilikinya kelak. OnePlus 6T dijangka tidak akan hadir dengan tiga kamera utama seperti yang diberitakan sebelum ini, menurut laporan WinFuture.

Sekiranya laporan ini benar, maka kita tidak akan melihat perbezaan yang ketara model ini dengan model sebelumnya, OnePlus 6. Sebelum ini, kami pernah melaporkan mengenai beberapa pembaharuan yang dijangka akan dibawa kepada OnePlus 6T berbanding OnePlus 6.

Kredit : WinFuture


Antaranya ialah penggunaan pengimbas cap jari dalam skrin, ketiadaan bicu audio 3.5mm serta sokongan tri-kamera utama. Setakat ini, hanya ketiadaan bicu audio sahaja yang telah disahkan oleh pihak OnePlus sendiri, manakala dua lagi ciri baru itu masih lagi belum disahkan atau dinafikan setakat ini.

Namun, merujuk kepada imej render OnePlus 6T di atas, tiada lagi sensor pengimbas cap jari dilihat di bahagian bawah lensa kameranya, berbeza dengan OnePlus 6. Ini memungkinkan laporan mengenai imbasan cap jari dalam skrin itu adalah benar.

OnePlus 6T dilaporkan akan diperkenalkan secara rasmi pada pertengahan bulan Oktober nanti. Memandangkan tempoh itu hanya lebih kurang sebulan dari sekarang, kami menjangkakan lebih bayak maklumat mengenai peranti ini akan didedahkan dalam masa terdekat. Jadi, teruskan bersama Wiser untuk perkembangan selanjutnya.