Observatori Negara Langkawi Rakam Perbezaan Saiz Bulan Penuh Apogee Dan Perigee

Pada awal tahun ini iaitu pada 5 Februari 2023 yang lalu, sistem teleskop di Observatori Negara Langkawi telah berjaya merakam fasa Bulan Penuh Apogee.

Kemudian sekali lagi Observatori Negara Langkawi berjaya merakam pula fasa Bulan penuh Perigee pada 2 Ogos 2023 baru-baru ini.

Bulan Penuh atau Bulan Baru Apogee merujuk kepada kedudukan bulan yang berada paling jauh dengan Bumi.

Dalam lingkungan 90% daripada jarak paling jauh antara Bumi dengan Bulan pada kitaran orbit tersebut, ia dikenali sebagai “Micromoon, Minimoon, Mini Full Moon atau Mini New Moon”.

Manakala Bulan Penuh atau Bulan Baru Perigee pula adalah ketika bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi.

Dalam lingkungan 90% daripada jarak terdekat antara Bumi dengan Bulan pada kitaran orbit tersebut, ia dikenali sebagai “Supermoon, Super Full Moon atau Super New Moon”.



Semasa Bulan Penuh Perigee berlaku, saiz ketara/diameter ketara Bulan Penuh boleh kelihatan sehingga 7% lebih besar daripada Bulan Penuh biasa dan kelihatan 14% lebih besar dan 30% lebih cerah daripada ‘Micromoon’.

Sebagai perbandingan, anda boleh melihat perbezaan saiz ketara ketika Bulan Penuh Perigee 2 Ogos 2023 dengan Bulan Penuh Apogee 5 Februari 2023.



Pada 16 Ogos 2023 nanti, Bulan sekali lagi akan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan Bumi iaitu pada jarak 406,634 km.

Kemudian pada 31 Ogos 2023 pula, Bulan akan memasuki fasa Bulan Penuh Perigee iaitu bulan purnama yang berada paling dekat dengan Bumi pada jam 09:38.

Ketika itu, Bulan akan kelihatan terbesar dan tercerah untuk tahun 2023 yang juga dikenali sebagai “Supermoon”.

{suggest}

Sumber: MYSA