Observatori Negara Langkawi Berjaya Rakam Kumpulan Tompok Matahari

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan, pada 13 November 2023 lepas, Observatori Negara Langkawi (ONL)  telah berjaya merakam 2 imej Matahari yang menunjukkan kumpulan Tompok Matahari.

Tompok Matahari merupakan aktiviti suria yang wujud di permukaan fotosfera Matahari dengan pelbagai saiz dan bentuk serta berkait rapat dengan kehadiran medan magnet yang kuat di kawasan tersebut

Dalam imej 1 yang dirakam ONL, ia menggunakan penapis cahaya tampak (whitelight) yang menunjukkan kumpulan Tompok Matahari pada lapisan fotosfera.

Terdapat lima kumpulan Tompok Matahari yang dinomborkan secara berturutan mengikut turutan kemunculannya pada permukaan Matahari iaitu AR3477, AR3483, AR3484, AR3485 dan AR3486.

"Sesetengah kumpulan Tompok Matahari mempunyai struktur medan magnet yang lebih kompleks berbanding dengan kumpulan Tompok Matahari yang lain dan berkemungkinan menghasilkan letusan suar suria. Tompok ini kelihatan lebih gelap kerana suhunya yang lebih sejuk iaitu sekitar 3500 darjah Celcius berbanding kawasan fotosfera Matahari yang lain iaitu sekitar 5500 darjah Celcius." MYSA



Dalam Imej 2 pula menunjukkan sebahagian Matahari yang dirakam dengan menggunakan penapis H-alpha (hydrogen-alpha).

Penapis H-alpha hanya membenarkan cahaya yang mempunyai panjang gelombang sekitar 656.3 nanometer untuk melaluinya dan digunakan untuk mencerap lapisan atas Kromosfera Matahari.

MYSA menjelaskan, kawasan yang terang pada imej Matahari ini dikenali sebagai “plage” yang sering mengelilingi Tompok Matahari dan merupakan salah satu ciri lapisan kromosfera.

Ia menandakan kehadiran medan magnet yang kuat berhampiran dengan Kumpulan Tompok Matahari tertentu dan berpotensi untuk menghasilkan letusan suar suria dan sebagainya.

Jaluran gelap pada imej ini pula dikenali sebagai filamen atau prominens apabila ia berada pada sisi Matahari yang merupakan fenomena gelungan besar gas bercahaya yang berlaku di lapisan kromosfera dan korona Matahari.



Bagi anda yang tidak tahu, Observatori Negara Langkawi telah siap dibina pada tahun 2006 dahulu yang terletak di Empangan Bukit Malut, Langkawi, Kedah.

Ia merupakan salah satu balai cerap di Malaysia yang menyediakan fasiliti pencerapan bertaraf antarabangsa bagi penyelidikan dalam bidang astronomi optikal di Malaysia. Kelebihan ONL yang terletak di Khatulistiwa membolehkan ia mencerap objek astronomi di langit hemisfera utara mahupun selatan.

ONL dilengkapi dengan 2 unit Sistem Teleskop Stellar dan 1 unit Sistem Teleskop Solar.

Sistem Teleskop Solar digunakan bagi mencerap Matahari yang bertujuan untuk memantau aktiviti Matahari secara optikal.

Pemantauan ini penting untuk mendapatkan informasi keadaan Matahari dan sekitarnya yang mungkin akan memberi kesan kepada persekitaran angkasa, teknologi dan kehidupan di Bumi.

Pada tahun 2015, ONL telah diberi pengiktirafan sebagai salah satu stesen penyumbang data tompok Matahari kepada World Data Centre of Sunspot Number melalui Sunspot Index and Long-term Solar Observations Network (SILSO) kerana berkeupayaan melaksanakan pencerapan Matahari secara konsisten pada setiap hari.

{suggest}

Sumber: MYSA, ONL