Lembaga pengarah Nvidia dilaporkan sedang bersedia untuk menyingkirkan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jensen Huang, susulan kontroversi yang melibatkan dua dakwaan hubungan sulit serta siasatan terhadap kemungkinan beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing.
Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik individu yang mengetahui perkara itu, lembaga pengarah Nvidia sedang bersedia untuk mengadakan mesyuarat bagi menentukan masa depan Huang.
The New York Times (NYT) turut melaporkan pada Rabu bahawa Huang terlibat dalam hubungan sulit kedua di luar perkahwinannya, kali ini dengan seorang kakitangannya sendiri. Akhbar itu mendakwa terdapat bukti video yang menunjukkan eksekutif berusia 63 tahun tersebut bermesra dengan Naib Presiden Bahagian Penjagaan Kesihatan Nvidia, Kimberly Powell.
Powell, 48, merupakan antara wajah utama dalam usaha Nvidia untuk memperluas penggunaan teknologi cipnya ke sektor pendidikan tinggi dan penjagaan kesihatan.
Dakwaan tersebut muncul selepas Huang mengakui kepada kakitangan Nvidia bahawa beliau tidak setia kepada isterinya, susulan laporan mengenai hubungannya dengan Alice Huang, seorang eksekutif kanan di syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, Megaspeed.
Pada hari yang sama, lembaga pengarah Nvidia turut mengumumkan pihaknya telah memulakan siasatan bebas terhadap laporan berkenaan. Siasatan itu dikendalikan oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pengarah bebas dengan bantuan penasihat undang-undang luar.
Alice Huang sebelum ini didakwa oleh pihak perisikan AS mempunyai kaitan dengan Kementerian Keselamatan Negara China. Perkara itu mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan operasi perisikan asing yang menyasarkan ketua salah satu syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia.
Selain siasatan bebas, pemegang saham Nvidia turut memfailkan saman tindakan berkumpulan terhadap Huang dan syarikat pembuat cip AI itu atas dakwaan gagal mendedahkan maklumat mengenai hubungan tersebut kepada para pelabur.
Saham Nvidia juga mengalami kejatuhan ketara dalam beberapa hari kebelakangan ini sejak Huang mengakui skandal tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini Nvidia belum mengumumkan sebarang keputusan rasmi untuk menyingkirkan Huang daripada jawatan tersebut. – AFP
