Tersebutlah kisah, sebuah TWS telah dilancarkan beberapa bulan yang lalu dan ia diberi nama Nothing Ear (1). TWS ini mendapat perhatian kerana rupanya yang unik dengan kemasan separa lutsinar. Selain itu, ia menggunakan profil audio yang bersih, bersama dentuman bass yang sampai ke hati. Jadi, tidak hairan kenapa TWS ini menjadi sebutan ramai tech enthusiast. Secara tidak langsung, syarikat Nothing telah mendapat reputasi permulaan yang baik.
Namun, jika anda kurang berkenan dengan warna putih ala-ala lutsinar pada Nothing Ear (1) ini, jangan risau kerana Nothing lancarkan pilihan warna hitam bagi TWS ini. Diberi nama Nothing Ear (1) Black Edition, saya pasti rusuk kiri abang-abang minimalis sedang bergetar melihat rupa TWS ini. Versi hitam ini telah rasmi dilancarkan di halaman produk mereka, termasuk untuk halaman produk Malaysia.
Walau bagaimanapun, tiada perubahan pada spesifikasi berbanding versi asal. Hanya pada rupa luaran sahaja yang bertemakan warna hitam. Pada masa yang sama ia masih mengekalkan rupa yang elegan, dan juga futuristik. Selain itu, ia menampakkan tip silikon dengan kemasan matte black, dan juga bekas pengecasan yang menggunakan kombinasi warna hitam dan penutup lutsinar yang lebih gelap.
Nothing juga menyatakan bahawa dimensi saiz dan berat masih kekal sama. Jadi kita boleh beranggapan bahawa kualiti audionya masih sama. Namun, jika ada perubahan kepada kualiti audionya, kami akan memberitahu kepada anda semua kelak.
Para pengguna boleh menikmati alunan muzik kegemaran selama 4 jam, dan bekas pengecasan juga akan memberikan kapasiti bateri tambahan selama 24 jam. Anda boleh mengecas bekas pengecasan ini menggunakan USB Type-C.
Kedua-dua versi putih dan hitam ini boleh dibeli dengan harga rasminya iaitu RM499 di Shopee, dan juga penjual yang diiktiraf. Selepas ini bolehlah kita layan lagu jiwang sampai tertidur. Sekarang pun saya sedang menjiwai lagu Gerimis Mengundang oleh Slam, mesti lebih feeling jika pakai Nothing Ear (1) Black Edition ini.
Baca juga: