Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
NASA Akan Bina Pangkalan Bulan, Tangguh Pelan Stesen Orbit Lunar

NASA Akan Bina Pangkalan Bulan, Tangguh Pelan Stesen Orbit Lunar

Diterbitkan Mac 25, 2026 · Dikemas kini Mac 27, 2026 oleh ariff bukhari

Ketua NASA pada Selasa berkata agensi angkasa Amerika Syarikat itu akan melabur AS$20 bilion untuk membangunkan pangkalan di Bulan, sambil menangguhkan rancangan membina stesen angkasa orbit lunar yang dikenali sebagai Gateway.

“Agensi bercadang untuk menjeda Gateway dalam bentuk semasanya dan mengalihkan tumpuan kepada infrastruktur yang membolehkan operasi permukaan secara berterusan,” kata Jared Isaacman dalam satu kenyataan semasa acara sehari di ibu pejabat NASA di Washington.

“Walaupun terdapat cabaran dengan beberapa perkakasan sedia ada, agensi akan guna semula peralatan yang sesuai dan memanfaatkan komitmen rakan antarabangsa untuk menyokong objektif ini,” katanya.

Ini merupakan perubahan terbaharu di NASA susulan penstrukturan semula program Artemis program, yang bertujuan menghantar rakyat Amerika kembali ke Bulan dan mewujudkan kehadiran jangka panjang di sana sebagai persediaan ke misi ke Marikh.

https://x.com/NASA/status/2036469397225693423?s=20

Stesen orbit lunar Gateway sebelum ini dirancang sebagai titik pemindahan angkasawan ke Bulan serta platform penyelidikan.

Namun, penangguhannya tidak mengejutkan kerana ada pihak mengkritiknya sebagai pembaziran kos atau mengalih fokus daripada matlamat lain di Bulan.

Menurut Isaacman, langkah itu membolehkan sumber dialihkan kepada pembinaan pangkalan berhampiran kutub selatan Bulan, yang merupakan lokasi strategik.

NASA kini merancang membelanjakan AS$20 bilion dalam tempoh tujuh tahun untuk membina pangkalan tersebut melalui puluhan misi, dengan kerjasama rakan komersial dan antarabangsa.

“Terdapat laluan evolusi untuk membina pos tetap pertama manusia di luar Bumi, dan kami akan membawa dunia bersama-sama kami,” katanya.

European Space Agency merupakan antara rakan antarabangsa dalam projek Gateway. ESA memaklumkan pihaknya sedang berunding rapat dengan negara anggota, rakan antarabangsa dan industri Eropah untuk menilai implikasi pengumuman tersebut.

Artemis 2 dalam perancangan

Isaacman, yang mengambil alih NASA hujung tahun lalu, sebelum ini mengumumkan rombakan program Artemis selepas beberapa kelewatan, dengan sasaran menghantar manusia kembali ke permukaan Bulan menjelang 2028.

Sasaran itu kekal, namun NASA akan menyusun semula jadual penerbangan termasuk misi ujian sebelum pendaratan bagi meningkatkan kesiapsiagaan pelancaran.

Misi Artemis 2, yang pada asalnya dijadualkan seawal Februari, kini disasarkan pada awal April dan akan menjadi penerbangan lintasan Bulan pertama dalam lebih setengah abad.

Semasa penggal pertamanya, Donald Trump menyatakan hasrat untuk menghantar rakyat Amerika kembali ke permukaan Bulan.

Dalam masa sama, China sedang mempercepatkan perancangan misi berawak ke Bulan selewat-lewatnya menjelang 2030.

Usaha Amerika Syarikat turut bergantung kepada kemajuan rakan swasta NASA.

SpaceX milik Elon Musk dan Blue Origin milik Jeff Bezos telah diberikan kontrak untuk membangunkan pendarat Bulan bagi program Artemis. – AFP.

Berkaitan

  • Angkasawan NASA Rakam Kota Suci Mekah Bersinar Dari Angkasa
  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • Hentaman Kapal Angkasa DART Berjaya Ubah Orbit Asteroid - NASA

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Mini PC ASUS ProArt GR1X Dengan NVIDIA RTX Spark Berharga RM25,200 Di Malaysia
  • Tiga Angkasawan Termasuk Seorang Dari Pakistan Berjaya Berlepas Ke Stesen Angkasa Tiangong
  • YTL AI Lab Lancar Cikgu ILMU, AI Percuma Bantu Ibu Bapa Bimbing Pembelajaran Anak
  • XPENG Perkenal WorldGPT, Model AI Fizikal Untuk Kereta, Robot Dan Dron
  • Kioxia Bangunkan Memori Flash Baharu, 135% Lebih Cekap Tenaga Ketika Membaca Data
  • Samsung Lancar Monitor Gaming Dengan Kadar Segar Semula 1,100Hz Pertama Di Dunia
  • Kerajaan Teliti Pindaan Undang-Undang Bagi Paparan Kad Pengenalan Secara Digital – Gobind
  • Huawei Bebas Tuduhan Jenayah Terancang Di AS, Bersalah Atas 10 Pertuduhan Lain
©2026 WISER.MY