Jika anda seorang lelaki Muslim, pastinya anda maklum dengan tentang larangan bercakap-cakap ketika khutbah. Namun, bagaimana pula dengan bermain telefon dan menjawab panggilan?
Bukan hanya itu, seorang hamba Allah bertanya bagaimana jika khatib sendiri yang menjawab panggilan telefon ketika menyampaikan khutbah?
Di sini ada dua jawapan yang kami kongsikan iaitu hukum khatib menjawab panggilan dan hukum jemaah yang bermain telefon termasuk menulis khutbah.
{suggest}
Hukum makmum bercakap-cakap dan bermain telefon
Ada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Apabila kamu berkata kepada sahabatmu ‘diam’, pada hari jumaat ketika imam sedang berkhutbah, maka pahala Jumaatmu menjadi sia-sia.”
Larangan bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah hukumnya adalah makruh berdasarkan hadis di atas.
Bahkan ia juga boleh meluput dan membatalkan pahala Jumaat.
Menurut Imam Khatib al-Syirbini, pandangan baru (Jadid) Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa tidak sampai kepada tahap haram bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah.
Untuk menggunakan telefon dan menulis khutbah, ia juga sama dilarang berdasarkan hadis larangan bercakap.
Ini dikuatkan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA yang maksudnya: “Barangsiapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.”
Larangan berkata-kata di sini termasuklah juga menulis khutbah bagi mengelakkan situasi berhelah seperti orang menggunakan SMS, Whatsapp dan lain-lain ketika khutbah berjalan.
Berkata Imam Nawawi Rahimahullah: “Pada hadis ini terdapat larangan bermain dengan batu dan selain daripada jenis itu kerana itu adalah sebahagian daripada perbuatan sia-sia ketika khutbah (Jumaat).
Di sini terdapat isyarat agar ditujukan hati dan anggota badan semata-mata kepada khutbah.” Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, tambah Mufti WP.
Justeru, Pejabat Mufti cenderung untuk menyatakan bahawa hukum menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat adalah afdal ditinggalkan perbuatan menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat.
Hukum khatib menjawab panggilan telefon
Jawap Tuan Mufti, perbuatan khatib menjawab telefon ketika menyampaikan khutbah adalah makruh dan boleh mensia-siakan pahala Jumaat sekiranya tanpa keperluan dan hajat yang mendesak.
Pun begitu, perbuatan tersebut tidak membatalkan khutbah tapi khatib perlu mengambil berat soal kesinambungan (al-muwalat) yang merupakan salah satu syarat sah khutbah.
Ukuran kepada tempoh masa yang boleh menyebabkan al-muwalat terputus adalah anggaran dua rakaat solat yang ringkas.
Oleh itu, jika khatib melakukan perkara yang bukan daripada khutbah sehingga melebihi kadar 2 rakaat solat yang ringkas, maka khutbah Jumaat itu terbatal. Jika berlaku, khatib perlu mengulangi semula khutbah yang pertama.
Dari sudut akhlak dan adab, sebagai seorang khatib tidak sepatutnya menjawab telefon ketika khutbah disampaikan.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa khatib atau makmum/jemaah dibenarkan bercakap semasa khutbah namun hanyalah atas tujuan yang penting sahaja seperti menegur untuk melakukan kebaikan dan memberi pertunjuk ke arah kebenaran.
Ini pernah dilakukan sendiri oleh Nabi SAW ketika menyampaikan khutbah.
Diharapkan ini dapat menjelaskan keraguan yang menduga selama ini. Untuk teks penuh, klik pautan di bawah.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan