MSI Lancar Barisan Laptop Baharu Untuk Gaming Dan 'Editing'

MSI hari ini melancarkan barisan komputer riba (laptop) baharu khusus untuk golongan gamer dan kreatif. Kesemunya dikuasakan perkakas baharu, iaitu cip Intel Gen-11 siri H dan juga kad grafik NVIDIA RTX 3080.

Creator Z16, Creator M16 dan Creator 17




Sesuai dengan nama 'creator', semestinya ia disasarkan buat individu yang mahu membuat kerja-kerja penyuntingan. Bagi Creator Z16, ia dilengkapi paparan luas dengan nisbah 16:10 serta bezel yang nipis serta hadir resolusi QHD+ dengan gamut warna 100% DCI-P3.

Sementara Creator M16 pula paparannya masih seakan yang ditawarkan Z16 cumanya komputer riba ini sesuai untuk individu yang mahukan penyuntingan lebih ringan kerana kad grafiknya adalah RTX 3050/RTX 3050 Ti berbanding RTX 3060 yang terdapat pada Z16.



Untuk Creator 17, skrinnya lebih cantik dan berkuasa. Dengan saiz 17.3 inci, ia menggunakan panel miniLED dengan kecerahan sehingga 1000 nits, resolusi UHD (3840x2160) dan juga sokongan HDR 1000.

Turut dikuasakan cip sehingga Intel Core i9 Gen-11 dan pilihan kad grafik RTX 3060, RTX 3070 atau RTX 3080.

MSI GE76 Raider dan GE66 Raider




Kedua-dua komputer riba ini dijana cip baharu sehingga Intel Core i9 Gen-11 yang digandingkan kad grafik hingga RTX 3080. Di dalam juga diberikan RAM sehingga 64GB dan dilengkapi dua slot storan M.2 SSD.

Selain itu, paparannya adalah dari resolusi FHD hinggalah UHD. Namun, semakin tinggi resolusi, semakin rendah kadar penyegaran yang diberikan. Sebagai contoh, resolusi FHD (360Hz) atau UHD (120Hz).

Baca juga - Intel perkenal cip Intel Gen-11 siri H untuk laptop gaming

MSI GP76 Leopard dan GP66 Leopard




Siri ini amat sinonim bagi peminat komputer riba MSI. Masing-masing dikuasakan cip Intel Core i7 Gen-11 dan padanan NVIDIA RTX 3070 8GB.

Selain itu, ditawarkan skrin dengan paparan sehingga resolusi QHD 165Hz dan gamut warna 100% DCI-P3. Bagi memori pula, 2 slot diberikan yang menyokong sehingga 64GB RAM serta 2 storan dalaman M.2 SSD.

MSI GS76/66 Stealth dan Pulse GL76/66




Perbezaan antara siri Stealth dan Pulse adalah terletak pada cip dan gandingan kad grafiknya.

Siri Stealth dijana sehingga Intel Core i9 Gen-11 dan kad grafik hingga RTX 3080 16GB. Sementara siri Pulse hanya hingga Intel Core i7 Gen-11 dan padanan grafik sehingga RTX 3060 6GB.

MSI Sword 17/15 dan Katana GF76/66




Siri komputer riba ini sesuai untuk anda yang mahu berjinak-jinak dengan dunia gaming. Selain rekaan yang nipis, spesifikasinya juga agak baik.

Cip pemprosesannya dijana Intel Core i7 Gen-11 dan ditawarkan pilihan kad grafik dari GTX 1650 4GB sehinggalah RTX 3060 6GB.

Dilengkapi paparan dengan panel IPS beresolusi FHD dan sokongan kadar penyegaran 144Hz. Turut diberikan storan M.2 SSD dan memori sehingga 64GB RAM.

Buat masa sekarang, MSI masih belum mengumumkan tarikh ketersediaan serta harga rasmi buat pasaran tempatan.

Sumber: Siaran Media MSI