MMU Dan KKMM Bekerjasama Menangani Masalah Buli Siber

Universiti Multimedia (MMU) menerusi SKMM memaklumkan mereka kini sedang menjalankan kaji selidik terhadap masalah buli siber.

Kaji selidik itu dibuat dengan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Kaji selidik yang dlaksanakan oleh Pasukan Penyelidikan Universiti Multimedia (PP MMU) ini akan digunakan untuk membantu PP MMU dalam membangun suatu kerangka perundangan untuk undang-undang Anti Buli Siber untuk perhatian KKMM bagi menangani masalah buli siber.

Justeru orang ramai dijemput untuk turut serta dalam kajian itu dengan menjawab dalam borang soal selidik yang disediakan oleh PP MMU di atas talian.

Buli siber boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku yang memudaratkan atau memalukan orang lain dengan menghantar, memuat naik atau mengancam seseorang individu melalui teks atau visual dengan menggunakan peranti teknologi komunikasi seperti telefon bimbit, komputer, gajet elektronik, media sosial, emel, blog, laman sesawang, ruang sembang (chat room) dan sebagainya.

Buli siber dipandang serius kerana mampu memberikan impak negatif terhadap kesihatan mental individu yang dibuli bahkan lebih parah apabila melibatkan tindakan merosakkan fizikal dan tahap sosial.

Kerajaan sebelum ini digesa supaya segera mewujudkan akta khusus berkaitan jenayah dan buli siber.

Buat masa ini, pembuli siber akan didakwa mengikut seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.