Misteri Pelantar Sepanjang Tepi Jambatan Pulau Pinang Terjawab

Misteri kewujudan pelantar sepanjang tepi Jambatan Pulau Pinang kini terjawab apabila pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa pelantar yang sedang dibina itu adalah bagi projek menara penghantaran monopole sepanjang 8.5km yang bakal menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di Pulau Pinang itu.

Projek menara itu merupakan projek kedua selepas projek talian atas monopole pertama TNB yang sudah siap dibangunkan sepanjang 4.2km yang menghubungkan Pantai Siring ke Pulau Besar Melaka.

Untuk projek kedua ini, kerja-kerja penyiasatan tanah sedang dijalankan di kawasan laut berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang.

TNB memaklumkan, kerja-kerja meliputi pembinaan tapak asas menara, pemasangan struktur menara serta kerja-kerja merentang pengalir dijangka akan bermula pada penghujung 2022.



Mereka juga memaklumkan, aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus amat dititik beratkan mereka. Malah, kerja-kerja pembinaan menara di dalam air itu juga tidak akan memberi impak kepada lalu lintas di jambatan Pulau Pinang,

Projek menara itu adalah bagi menyambungkan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas dari tanah besar Semenanjung, bagi mengekalkan kestabilan bekalan elektrik di Pulau Mutiara itu pada masa depan.

Projek yang menelan belanja lebih RM500 juta itu dijangka siap menjelang hujung tahun 2024 dan bakal menjadi mercu tanda ikonik Pulau Pinang melalui menara talian penghantaran unik dengan reka bentuk buah pinang.

TNB menyatakan, apabila siap kelak, ia akan menjadi talian keempat menghubungkan Grid Nasional ke Pulau Pinang.

Tiga talian terdahulu adalah kabel dasar laut 132kV dari SJ Prai – SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978; 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru – PMU Bayan Lepas (1995).

Sumber: tnb