Microsoft telah memfailkan satu paten bagi sistem kecerdasan buatan (AI) yang berupaya mengubah kandungan audio dan video seseorang hampir secara masa nyata, termasuk menukar perkataan yang diucapkan serta menyelaraskan pergerakan bibir dan ekspresi wajah agar kelihatan semula jadi.
Menurut paten tersebut, teknologi ini direka untuk mengenal pasti perkataan atau frasa tertentu dalam ucapan, kemudian memadam, membetulkan atau menggantikannya dengan perkataan lain tanpa menjejaskan kelancaran video.
Sistem itu turut mampu mengubah audio dan visual bagi memastikan hasil akhir kelihatan seolah-olah penutur benar-benar mengucapkan perkataan yang baharu.

Antara kegunaan yang dicadangkan termasuk penterjemahan bahasa secara langsung, membuang perkataan pengisi seperti “um” dan “ah”, memperbetulkan salah sebutan, kegagapan atau kesilapan pertuturan lain.
Selain itu, AI berkenaan juga boleh menapis bahasa kesat, perkataan yang tidak sesuai atau ungkapan yang mungkin tidak diingini oleh penonton.
Paten itu turut mencadangkan penggunaan carian internet bagi mencari perkataan alternatif yang sesuai untuk menggantikan ucapan asal.
Ini membuka kemungkinan kandungan videodapat diubah secara dinamik mengikut konteks dan khalayak sasaran.
Walaupun teknologi ini berpotensi meningkatkan kualiti siaran langsung dan memudahkan komunikasi rentas bahasa, ia juga menimbulkan persoalan berkaitan ketulenan kandungan serta risiko penyalahgunaan.
Jadi, untuk menangani kebimbangan tersebut, paten Microsoft berkenaan menyatakan bahawa versi asal video dan audio boleh disimpan sebagai rujukan asal bagi tujuan pengesahan.
